MELAKA, 19 Jun 2025 – Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan maut dipercayai lemas selepas dihempap lengan bapanya yang diserang sakit jantung secara tiba-tiba dalam kejadian menyayat hati di Kampung Perigi Hang Tuah, Duyong, pagi tadi.
Bapa mangsa, Nurul Effendy Ibrahim, 35, turut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat serangan jantung.
Insiden berlaku sekitar jam 9.30 pagi dan disedari oleh ibu bayi, Azura Abdul Malik, 40, sebaik pulang dari tempat kerja. Beliau pulang ke rumah untuk membawa bayi bongsunya, Muhammad Nur Daniel Nurul Effendy, mendapatkan suntikan rutin di klinik kesihatan.
“Saya sangat terkejut bila masuk ke dalam bilik tidur dan nampak bayi berada di bawah lengan suami. Kedua-duanya tidak sedarkan diri atas katil, tapi tiada kesan darah,” katanya yang bekerja sebagai pembantu tadbir di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Menurut Azura, bayi mereka masih bernyawa ketika ditemui namun keadaannya sangat lemah. Beliau segera mendapatkan bantuan adik iparnya yang tinggal berhampiran sebelum membawa bayi ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka. Namun, anak kecil itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, PBK II Mohd Supian Md Dali, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan dari hospital pada jam 9.58 pagi.
“Pihak hospital maklumkan terdapat dua mangsa, seorang lelaki dewasa meninggal dunia di lokasi kejadian dan seorang bayi meninggal dunia di hospital,” katanya.
Susulan maklumat awal, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan terhadap kemungkinan kebocoran gas di kediaman terbabit. Namun hasil siasatan lanjut mendapati tiada bahan kimia atau gas berbahaya ditemui.
“Kami dapati kematian lelaki itu kemungkinan berpunca daripada serangan jantung, maka bantuan daripada Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dibatalkan,” jelas beliau.
Kejadian itu mengundang simpati ramai dan dianggap sebagai tragedi yang amat menyayat hati melibatkan kehilangan serentak dua insan tersayang dalam sesebuah keluarga.
Post a Comment