Rider Halalkan Makanan untuk Pelanggan Tiada Duit

 

Kisah menyayat hati melibatkan seorang penghantar makanan yang dikenali sebagai Paktam Perus mendapat perhatian warga maya apabila dia berkongsi pengalaman berdepan pelanggan yang tidak mampu membayar pesanan makanan secara tunai.


Menurut Paktam, kejadian itu berlaku ketika dia menghantar pesanan ke rumah pelanggan yang memilih kaedah bayaran tunai semasa serahan (cash on delivery, COD).

“Sampai je rumah pelanggan, saya hulurkan makanan. Tapi akak tu cakap... ‘maaf dik, akak tak perasan tak ada duit dalam wallet’,” kongsinya di media sosial.


Tanpa menunjukkan rasa marah, Paktam mencadangkan pelanggan wanita itu membayar menggunakan imbasan kod QR. Namun jawapan seterusnya membuatkan dirinya terkedu.

“‘Dalam bank pun tak ada dik’, jawab akak tu,” katanya lagi.


Apa yang lebih menyentuh hati, ketika dia masih cuba mencari jalan penyelesaian, terdengar suara anak kecil dari dalam rumah yang berkata, “Ibu, makanan dah sampai ke? Lapar la ibu.”

“Masa tu jantung rasa nak gugur, menggeletar lutut,” tulisnya.


Tanpa berlengah, Paktam meminta wanita itu mengambil makanan berkenaan dan memberikannya kepada anak yang kelaparan. Dia memutuskan untuk menghalalkan makanan tersebut, sambil meminta si ibu mendoakan kesejahteraannya.

“Saya cakap, tak apa. Bagi anak makan dulu. Saya halalkan dunia akhirat. Doakan je saya dan keluarga sihat serta murah rezeki,” katanya.


Kejadian itu membuatkan dirinya termenung sepanjang perjalanan pulang. Ia memberi pengajaran besar mengenai erti bersyukur dan ujian kehidupan yang berbeza antara satu sama lain.

“Susah-susah saya, ada orang lebih susah. Mungkin akak tu tahu dia tak ada duit tapi anak lapar sangat. Dengan cara tu dia boleh bagi anak makan,” katanya sambil berharap orang ramai lebih peka terhadap golongan memerlukan.


Tindakan rider itu menerima pujian ramai netizen yang turut bersimpati dengan nasib wanita berkenaan dan anaknya.

“Awak ni memang terbaik bang. Kita kongsi rezeki, Allah akan ganti dengan cara paling mudah,” tulis seorang pengguna.

“Kalau dia tipu pun, itu antara dia dengan Allah. Tapi kalau anak betul-betul lapar, awak dah jadi penyelamat,” tambah yang lain.


Ramai turut mendoakan agar Paktam dimurahkan rezeki dan terus dipelihara dalam setiap urusan.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post