Penunggang Motosikal Maut Rempuh Treler

 

HULU SELANGOR, 19 Jun 2025 – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah treler yang sedang membuat pusingan U di Jalan Persiaran Ros, Bukit Sentosa, semalam.


Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang, dan pihaknya menerima maklumat berhubung insiden itu tidak lama kemudian.

“Siasatan awal mendapati treler yang dipandu lelaki berusia 59 tahun dari Klang ke Bukit Sentosa ketika itu berada di lorong kiri, dan dipercayai cuba membuat pusingan U untuk mengambil muatan,” katanya ketika dihubungi.


Bagaimanapun, motosikal yang ditunggang mangsa berusia 57 tahun yang melalui lorong kanan tidak sempat mengelak, lalu melanggar sisi kanan bahagian treler berkenaan.


Akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayatnya telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk tujuan bedah siasat.


Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu kerana memandu secara cuai hingga menyebabkan kematian.

“Polis menyeru mana-mana saksi yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan,” tambah Mohd Asri.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post