JOHOR BAHRU, 18 Jun 2025 – Sebuah rakaman video memaparkan seorang pemandu memarahi dua anggota polis kerana didakwa berhenti secara mengejut di Jalan Austin Heights 7/4 pada Ahad lalu sekitar jam 4 pagi, tular di media sosial.
Dalam video tersebut, lelaki terbabit mempersoalkan tindakan anggota polis kerana berhenti tanpa lampu brek berfungsi, sambil menyatakan kekecewaannya terhadap keadaan itu.
“Tengok, awak tak ada lampu brek. Tak boleh macam ni terus brek. Kamu ada salah atau tidak?” katanya dalam video tersebut.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat, memaklumkan bahawa kenderaan polis jenis Proton Waja mengalami kerosakan teknikal, menyebabkan lampu hadapan, belakang, dan mata arah (beacon light) gagal berfungsi.
“Kenderaan itu tidak dapat digerakkan dan anggota polis berhenti di lokasi sesuai sementara menunggu bantuan penyelenggaraan,” jelasnya.
Menurut Raub, pemandu terbabit menghampiri anggota dan membuat provokasi, walaupun penjelasan sudah diberikan.
Pihak polis belum menerima sebarang laporan rasmi mengenai kejadian, namun menegaskan bahawa penularan video tersebut boleh menjejaskan imej dan kredibiliti anggota bertugas. Orang ramai diingatkan agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengeruhkan keadaan.
Post a Comment