Ibu Luah Rasa Terkilan Barang Anak Selalu Hilang

 

Tular di media sosial luahan seorang ibu yang kecewa apabila barang kelengkapan sekolah anaknya sering hilang, rosak atau tidak dipulangkan, dipercayai selepas dipinjam rakan sekelas. Lebih menyedihkan, situasi itu berlaku hampir setiap hari hingga memaksa wanita tersebut menambah (top-up) alat tulis anaknya tanpa henti.


Kecewa dengan sikap tidak ambil peduli sesetengah ibu bapa, wanita itu bertindak menghantar mesej peringatan dalam grup WhatsApp kelas anaknya, dipercayai kelas Tahun 1 Arif, agar ibu bapa lain memastikan keperluan alat tulis anak-anak mereka mencukupi sebelum hadir ke sekolah.

“Boleh ke ibu bapa kelas 1 Arif sedia dan periksa kelengkapan anak masing-masing supaya mereka tidak pinjam barang kawan.
Ini bukan soal kedekut, cuma budak tujuh tahun belum faham mengenai peraturan,” katanya dalam mesej yang dikongsi di media sosial.


Menurut wanita berkenaan, rasa tidak puas hati timbul apabila alat tulis yang dipinjam oleh rakan anaknya bukan sahaja tidak dipulangkan, malah rosak atau hilang tanpa penjelasan.

“Kalau pulangkan semula barang yang dipinjam dalam keadaan baik, tak apalah. Ini tak dipulangkan atau beri sebab dah rosak,” katanya.


Katanya lagi, beliau berusaha untuk mendidik anaknya mengenai tanggungjawab dan menghargai barang sendiri, namun kecewa apabila usaha itu tidak berhasil disebabkan tindakan rakan-rakan di sekolah.


Dalam luahannya, si ibu turut mengakui terpaksa mengajar anaknya agar tidak mudah meminjamkan barang, walaupun bertentangan dengan nilai berkongsi yang biasa ditekankan kepada anak-anak.

“Saya ni setiap hari ajar anak jadi kedekut, cakap dengan dia biarkan saja kawan tu, pandailah mamanya belikan. Awak tak perlu kasihan.
Tapi apakan daya, anak umur tujuh tahun ni menahan pujuk rayu,” katanya sayu.


Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. Ada yang bersimpati, namun tidak kurang juga yang memberi pandangan berbeza dan berkongsikan pengalaman masing-masing.

“Tak perlu hantar mesej macam tu, sebab memang normal budak darjah satu hilang barang. Saya nasihatkan jangan beli barang mahal-mahal,” komen seorang pengguna.

“Bukan kawan ambil, tapi mereka letak merata-rata. Saya pun dah penat beli hari-hari,” ujar seorang lagi netizen.


Ada juga yang memberikan tip kreatif:

“Saya suruh anak cakap tangan dia kotor, takut berjangkit, jadi tak boleh bagi kawan pinjam. Cara lembut tapi berkesan.”


Isu alat tulis hilang atau dipinjam tanpa dipulangkan sememangnya perkara biasa dalam kalangan murid sekolah rendah, namun bagi sesetengah ibu bapa, kekerapan kejadian boleh menjadi beban dan mencetuskan rasa tidak puas hati.


Pakar pendidikan menyarankan agar ibu bapa dan guru bekerjasama mendidik murid tentang tanggungjawab menjaga harta benda, serta etika meminjam dan memulangkan barang.


Luahan ibu ini membuka ruang perbincangan tentang peranan ibu bapa dalam membentuk disiplin anak di rumah, dan bagaimana ia mempengaruhi suasana pembelajaran di sekolah. Sama ada dianggap remeh atau isu penting, keperluan pelajar seharusnya diberi perhatian agar proses pembelajaran berjalan lancar tanpa ibu bapa lain menanggung akibat kecuaian pihak lain.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post