Tular di media sosial luahan seorang wanita yang mendakwa hidupnya terseksa akibat berkahwin dengan suami yang pemalas, pengotor dan tidak bertanggungjawab terhadap keluarga. Kisahnya dikongsi menerusi satu Thread di platform media sosial, mencetuskan pelbagai reaksi warganet yang rata-ratanya melahirkan rasa simpati dan terkejut dengan pendedahan tersebut.
Menurut wanita itu, rumah tangganya yang sepatutnya menjadi tempat berlindung kini menjadi punca tekanan mental dan emosi. Dia menggambarkan suaminya sebagai seorang yang tidak menjaga kebersihan diri dan langsung tidak berperanan sebagai suami dan bapa.
Wanita itu mendakwa suaminya mandi hanya sekali sehari, tidak menggosok gigi, dan sering memakai pakaian dalam serta baju kerja yang sama selama beberapa hari hingga mengeluarkan bau tidak menyenangkan.
Lebih menjijikkan, wanita itu turut mendedahkan bahawa suaminya pernah membuang air kecil dalam singki dapur dan sering tidak menyiram tandas selepas digunakan.
“Saya masuk saja tandas mesti bau hancing, dia memang malas nak siram. Pernah beberapa kali dia kencing dalam singki dapur. Saya yang jadi bibik, kena cucikan,” luahnya.
Selain itu, suaminya juga dikatakan sering meletakkan pakaian kotor merata-rata dan mencampur pakaian bersih dengan pakaian busuk, menjadikan keadaan rumah tidak terurus.
Lebih menyedihkan, wanita itu turut mendakwa dia tidak menerima nafkah zahir dan batin daripada suaminya. Malah, segala urusan anak-anak termasuk pengangkutan, pembelian susu, lampin serta bayaran pengasuh semuanya ditanggung olehnya sendiri walaupun dia turut bekerja.
“Saya minta duit pun kadang kena mengemis baru dia bagi. Tapi peliknya bila periksa telefon, tiada pula bukti dia main perempuan. Dia bukan ambil dadah, tapi sekarang dah mula minum air ketum,” katanya.
Dia juga mendakwa suaminya tidak menyokong langsung usahanya untuk berdikari, menyebabkan dia berasa semakin tertekan dan hilang arah dalam rumah tangga yang dibina.
Dalam nada sebak, wanita itu meluahkan bahawa dia sudah terlalu penat menanggung segalanya sendirian, bahkan berdoa agar ada orang lain yang sudi menggantikan tempatnya sebagai isteri lelaki tersebut.
“Saya penat. Saya harap sangat ada perempuan lain yang sudi ganti tempat saya, sebab saya dah tak larat nak hadap semuanya seorang diri,” katanya.
Perkongsian wanita itu mengundang pelbagai reaksi warga maya. Ramai yang menyatakan rasa simpati terhadap nasibnya dan terkejut dengan tabiat suami yang digambarkan.
“Orang normal jarang macam ni kak.”“Sakit mental kot? Sebab orang normal tak pakai seluar dalam tak basuh hari-hari,” antara komen netizen.
Ada juga yang mencadangkan agar wanita itu mendapatkan bantuan undang-undang atau kaunseling rumah tangga, dan tidak terus bertahan dalam hubungan yang merugikan emosi serta kesihatan mental.
Kisah ini mencerminkan realiti segelintir isteri yang terperangkap dalam hubungan perkahwinan toksik, namun terus bertahan demi anak-anak. Ia juga mengangkat isu kecuaian tanggungjawab suami, serta kesedaran tentang kebersihan, sokongan emosi dan kewangan dalam rumah tangga.
Dalam apa jua situasi, para isteri digesa agar tidak terus memendam rasa, sebaliknya mendapatkan bantuan daripada saluran yang betul seperti kaunselor, pihak berkuasa agama atau pusat perlindungan wanita.
Post a Comment