Keinginan seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mencari pengalaman bekerja sambilan bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dia diganggu entiti misteri dalam perjalanan pulang lewat malam.
Anis (bukan nama sebenar), yang bekerja di sebuah warung kampung selepas tamat pengajian di tingkatan lima, mengalami detik mencemaskan ketika menunggang motosikal pulang dari tempat kerja melalui jalan sunyi yang dikelilingi ladang getah dan hanya beberapa buah rumah.
Menurut Anis, dia sudah biasa melalui jalan tersebut yang mengambil masa kira-kira 15 minit. Namun pada malam kejadian, suasana dirasakannya sangat berbeza.
“Bulu roma saya tiba-tiba meremang sebaik sahaja memasuki kawasan gelap itu. Saya cuba pulas minyak tapi motosikal seperti berat, seolah-olah ada sesuatu di belakang,” katanya.
Dalam keadaan gelisah, Anis sempat menjeling ke cermin sisi dan apa yang dilihatnya hampir membuatkan dia rebah sekujur tubuh dibaluti kain putih dengan wajah hangus dan berdarah kelihatan berdiri di belakangnya.
“Saya terus membaca ayat-ayat suci al-Quran yang saya hafal sejak kecil dan pecut sekuat hati balik rumah,” jelasnya dengan suara bergetar.
Setibanya di rumah, Anis meluru masuk dalam keadaan panik tanpa mematikan enjin motosikal dan terus menjerit memanggil bapanya.
“Saya tengok dia menggigil dan menangis. Bila dia cerita apa yang berlaku, saya terus tahu dia lalu jalan belakang tu,” kata bapa Anis.
Menurut penduduk kampung, laluan tersebut sering dikaitkan dengan kejadian mistik, dipercayai akibat beberapa insiden kemalangan maut yang pernah berlaku di lokasi sama beberapa tahun lalu.
“Dah ramai yang kena ganggu, sebab tu kami selalu pesan elakkan lalu situ waktu malam,” tambah bapa Anis.
Kejadian itu memberi kesan trauma yang mendalam kepada Anis sehingga dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja serta-merta.
Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati memilih laluan terutama ketika waktu malam dan elakkan kawasan yang telah dikenal pasti sering berlaku kejadian aneh atau kemalangan.
Post a Comment