Kuala Lumpur, 01 Julai – Sejak pelancaran inisiatif MyKasih, ramai dalam kalangan penerima khususnya golongan B40 mengambil peluang menebus bantuan tersebut bagi mengurangkan beban kos sara hidup yang semakin meningkat. Namun, masih ada penerima terutama warga emas yang berdepan kesukaran memahami proses penebusan kerana tidak biasa dengan sistem digital.
Baru-baru ini, satu perkongsian di media sosial menjadi tular selepas seorang individu menceritakan insiden menyayat hati melibatkan seorang wanita warga emas yang dimarahi juruwang di sebuah pasar raya ketika cuba menebus barangan menggunakan MyKasih.
"Yang ada mak ayah, please jangan bagi mereka tebus MySara atau MyKasih seorang diri," tulis individu berkenaan dalam perkongsian yang mendapat perhatian ramai.
Menurutnya, ketika berada di pasar raya pada waktu pagi yang masih lengang, dia menyaksikan sendiri seorang juruwang memarahi pelanggan warga emas kerana didakwa menyusahkan proses pembayaran.
“Cashier tu cakap... ‘makcik lain kali kalau tak reti, janganlah redeem duit dari MyKasih ni. Menyusahkan orang la’,” katanya.
Insiden itu berlaku apabila warga emas tersebut mengambil beberapa barangan yang tidak termasuk dalam senarai kelayakan MyKasih. Ketika diberitahu jumlah keseluruhan pembelian ialah RM65.80 sedangkan beliau hanya mempunyai RM50, wanita itu kelihatan terkebil-kebil, keliru dan sedih selepas dimarahi.
Tidak sampai hati melihat keadaan tersebut, individu berkenaan tampil membantu membayar baki RM15.80.
“Makcik tu bergenang air mata. Aku tambah je sikit sebab dia dah penat nak pulangkan barang. Aku ni lemah tengok orang tua menangis, aku pun teriak sekali,” katanya.
Tambahnya, wanita itu pada mulanya menolak bantuan secara sopan dan ingin memulangkan barangan, tetapi akhirnya menerima pertolongan selepas diyakinkan.
Dalam perkongsian yang sama, individu tersebut turut memberi penjelasan kepada orang ramai bahawa hanya barangan dengan tag MyKasih atau MySara boleh ditebus, manakala barangan lain perlu dibayar sendiri.
“Walaupun ada RM300 dalam akaun bantuan, kalau ambil barang tak termasuk dalam senarai, memang kena bayar asing,” jelasnya.
Insiden tersebut mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen. Ramai meluahkan rasa simpati terhadap warga emas tersebut dan menzahirkan penghargaan terhadap sikap prihatin individu yang membantu.
Ada juga netizen yang mengkritik sikap juruwang terbabit yang dianggap tidak sensitif dan kurang empati terhadap golongan tua yang kurang celik digital.
“Kenapa banyak sangat cerita cashier biadab bila orang guna MyKasih? Mereka tak ada empati ke?”
“Kalau staf aku perangai macam ni, memang aku sekeh kepala dia,” komen seorang netizen yang turut berkongsi pengalaman serupa.
Insiden ini membuka mata banyak pihak agar lebih peka dan prihatin dalam memberi layanan kepada warga emas yang mungkin tidak begitu arif dengan sistem moden, terutama ketika melibatkan bantuan kebajikan seperti MyKasih.
Post a Comment