GEORGETOWN, 1 Julai – Seorang guru wanita berusia 59 tahun menjadi mangsa terbaharu sindiket penipuan ‘phone scam’ selepas mengalami kerugian besar berjumlah RM890,000, akibat diperdaya individu yang menyamar sebagai pegawai polis.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, memaklumkan bahawa mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut semalam, selepas menyedari dirinya tertipu.
Menurut beliau, mangsa pada awalnya menerima panggilan daripada seorang lelaki tidak dikenali yang mendakwa sebagai wakil sebuah bank, kononnya terdapat penyalahgunaan kad kredit atas nama mangsa.
“Bagaimanapun, mangsa menafikan memiliki kad kredit tersebut. Panggilan itu kemudian disambung kepada individu lain yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Balai Polis Johor,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Suspek yang menyamar sebagai pegawai polis itu memberitahu bahawa mangsa sedang disiasat dalam kes pengubahan wang haram dan diarahkan untuk menyerahkan kesemua wang miliknya bagi tujuan audit siasatan.
Lebih membimbangkan, mangsa turut diugut bahawa waran tangkap akan dikeluarkan sekiranya enggan bekerjasama.
“Akibat ketakutan, mangsa telah melakukan 27 transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke dalam 23 akaun bank berbeza dari 19 Mei hingga 5 Jun lalu,” katanya.
Jumlah keseluruhan wang yang dipindahkan mencecah RM890,000. Mangsa hanya menyedari dirinya telah ditipu selepas menceritakan perkara tersebut kepada seorang rakan, yang kemudian menjelaskan bahawa ia adalah modus operandi sindiket penipuan.
Pihak polis kini menjalankan siasatan dan menasihatkan orang ramai agar tidak mudah panik sekiranya menerima panggilan mencurigakan, terutamanya yang melibatkan tuntutan wang atau menyamar sebagai pihak berkuasa.
“Sebarang keraguan boleh dirujuk terus ke balai polis berhampiran atau hubungi CCID Scam Response Center di 03-2610 1559 / 1599,” ujar Mohd Alwi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Post a Comment