JKM Segamat Kesan Waris Bayi Ditinggalkan

 

SEGAMAT, 11 Jun 2025 – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Segamat sedang mengesan waris atau ibu kandung kepada seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di hadapan sebuah rumah di Felda Redong, Labis pada malam 3 Mei lalu.


Menurut kenyataan JKM, bayi berkenaan ditemui dalam keadaan menyedihkan iaitu masih bertali pusat, dibaluti kain batik yang kotor dan dihurungi semut, tanpa sebarang dokumen pengenalan.


“Bayi itu kini berada dalam keadaan sihat selepas menerima rawatan di Hospital Segamat dan telah ditempatkan di bawah jagaan sebuah institusi JKM,” kata kenyataan itu.


JKM turut memaklumkan bahawa pihaknya telah memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Majistret Segamat pada 23 Mei lalu untuk menjaga bayi tersebut di bawah peruntukan Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001.


Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan ibu kandung atau waris kepada bayi lelaki tersebut diminta menghubungi Pelindung Kanak-Kanak Daerah Segamat di talian 07-9311331 bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post