Bangunan Sekolah Menengah Sains Alam Shah Terbakar

 

KUALA LUMPUR, 10 Jun 2025 – Satu kebakaran melibatkan bangunan pentadbiran Sekolah Menengah Sains Alam Shah (ASAS), Cheras awal pagi Selasa mencetuskan kebimbangan orang ramai selepas rakaman video kejadian tersebut tular di media sosial.


Klip berkenaan menunjukkan api marak membakar sebuah bangunan meskipun hujan lebat ketika itu, dengan asap tebal berkepul-kepul memenuhi ruang udara dan disertai kilat di lokasi kejadian.


Seorang pengguna Facebook berkongsi pengalaman mencurigai sesuatu yang berlaku selepas menghidu bau asap yang kuat seawal jam 5 pagi.


“Bau asap kuat Subuh tadi, guruh dan hujan pun lebat... berangin lagi. Dalam pukul 5 macam tu, rasa tak sedap hati dan buka Facebook. Allahuakhbar, SM Sains Alam Shah terbakar,” tulisnya sambil memaklumkan bahawa anak sahabat baiknya bersekolah di situ.


Menurut wanita tersebut, selepas menghubungi rakannya, beliau dimaklumkan bahawa kebakaran hanya melibatkan blok pejabat pentadbiran dan tidak melibatkan bahagian asrama.


Pasukan Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur (PGO KL) dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan tiada mangsa terlibat.


Komander Operasi Kanan PKPgB Noorul Hayat Ahmad Nazri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.15 pagi sebelum pasukan penyelamat tiba di lokasi pada jam 5.08 pagi.


“Kebakaran melibatkan keseluruhan tingkat satu bangunan pejabat pentadbiran sekolah. Api berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya pada jam 6.18 pagi,” katanya.


Operasi pemadaman melibatkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak dengan bantuan BBP Jalan Hang Tuah, BBP Cheras dan BBP Sentul. Punca kejadian masih dalam siasatan oleh unit forensik kebakaran.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post