Ibu Luah Rasa Terkilan Anak Terpaksa Duduk Pangku

 

KUALA LUMPUR, 10 Jun 2025 – Seorang wanita meluahkan rasa kecewa apabila terpaksa memangku anak kecilnya sepanjang perjalanan pulang ke kampung untuk menghadiri kenduri di Pahang gara-gara sikap ahli keluarga yang tidak prihatin terhadap keselamatan si kecil.


Dalam satu perkongsian yang tular di media sosial, wanita tersebut menceritakan bagaimana dia dimarahi oleh adik-beradik iparnya hanya kerana mahu meletakkan anak lelakinya yang berusia setahun tiga bulan dalam kerusi keselamatan kanak-kanak (car seat).


“Sakit betul hati. Perjalanan dua hingga tiga jam, tapi aku kena marah sebab nak letak anak dalam car seat. Anak aku memang sentiasa duduk dalam car seat,” luahnya dalam nada kesal.


Menurut ibu muda itu, keadaan menjadi lebih memenatkan apabila mereka tersekat dalam kesesakan lalu lintas dari jam 4 petang sehingga 11 malam. Lebih mengecewakan, walaupun terdapat lima buah kenderaan lain, ahli keluarganya tetap mahu berhimpit dalam kenderaannya, sebuah Toyota Alphard.


“Adik suami sepatutnya pandu kereta sendiri dan bawa isteri serta anak-anaknya, tapi semua nak sumbat dalam kereta aku juga,” tambahnya yang meluahkan kekesalan kerana tidak bertegas sejak awal.


Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen, yang rata-ratanya menyokong tindakan wanita itu yang mementingkan keselamatan anak. Ramai menggesa agar ibu bapa lebih bertegas dalam isu penggunaan car seat demi keselamatan anak kecil ketika menaiki kenderaan.


“Saya pun pernah alami. Bila anak menangis dalam car seat, ada yang suruh pangku. Tapi keselamatan anak tak boleh dikompromi. Apa-apa jadi, kita yang tanggung, bukan mereka,” ujar seorang netizen.


Seorang lagi berkata, “Kalau saya, memang berkeras. Kalau mereka nak sumbat, saya dan anak tak akan ikut. Keselamatan adalah keutamaan.”


Isu keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan sering dibangkitkan, terutama ketika musim perayaan dan cuti panjang. Pakar keselamatan jalan raya sentiasa menasihatkan agar ibu bapa memastikan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak bagi mengurangkan risiko kecederaan atau kematian sekiranya berlaku kemalangan.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post