Mangsa Alza Patah Tiga Tulang Rusuk Dalam Tragedi Jalan Jeli-Gerik

 

GERIK, 10 Jun 2025 – Salah seorang mangsa daripada kereta Perodua Alza yang terlibat dalam nahas ngeri di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli-Gerik, dilaporkan mengalami kecederaan serius termasuk patah tiga tulang rusuk.


Perkara itu dimaklumkan oleh seorang wanita, Nur Syaidatul Azua Mamat, yang mendakwa adiknya merupakan antara mangsa dalam kenderaan tersebut. Dalam satu komen di Facebook, beliau menyatakan bahawa anak saudara perempuannya patah kaki manakala seorang lagi tercampak keluar dari kereta ke dalam longkang.


Nahas yang berlaku sekitar jam 1 pagi Isnin lalu mengorbankan 15 nyawa, melibatkan 14 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan seorang kelindan bas persiaran yang membawa mereka.


Siasatan awal mendapati, bas yang dalam perjalanan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang Perodua Alza berwarna merah yang dinaiki sepasang suami isteri berusia 37 dan 36 tahun bersama dua anak mereka berusia enam dan tiga tahun.


Mangsa sekeluarga telah dihantar ke Hospital Baling, Kedah untuk menerima rawatan lanjut.


Sementara itu, pemandu kenderaan Perodua Alza yang dikenali sebagai Ustaz Lutfi, dilaporkan mengalami kecederaan ringan. Berdasarkan perkongsian di media sosial, beliau merupakan seorang guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Malau, Kedah.


Dalam pada itu, seorang pengguna Facebook yang kebetulan berada di lokasi kejadian memaklumkan bahawa beliau telah membantu keluarga mangsa dengan menyerahkan beg pakaian mereka kepada saudara terdekat.


“Saya bantu serahkan semua beg kepada bapa saudara sebelah suami mangsa yang dipanggil Pak Ndak, di Hentian Gerik. Saya juga bawa semua beg dalam kereta saya untuk diserahkan kerana lokasi kejadian terlalu gelap dan jauh,” katanya dalam satu hantaran. Beliau turut mendoakan agar urusan rawatan mangsa sekeluarga dipermudahkan.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post