KUALA LUMPUR, 10 Jun 2025 – Proses pengebumian kesemua 15 jenazah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli telah selesai sepenuhnya pada jam 10.39 pagi tadi.
Tragedi menyayat hati itu berlaku sekitar jam 12.30 pagi semalam dan mengorbankan 15 pelajar UPSI yang ketika itu dalam perjalanan pulang selepas menghadiri program luar kampus.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di media sosial rasmi universiti, pihak UPSI merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menguruskan proses pengebumian mangsa.
“UPSI menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam melancarkan urusan ini,” menurut kenyataan itu.
Universiti itu turut menyeru warga Malaysia untuk terus mendoakan agar roh kesemua mangsa dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
Post a Comment