TANGKAK, 10 Jun 2025 – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya dengan mengelar leher mangsa dalam kejadian di Taman Cahaya, Bukit Gambir, minggu lalu.
Tertuduh, Mohamad Khairul Azmi Ithnin, 33, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Lee Kim Kiat.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Khairul didakwa membunuh isterinya, Iecah Junus, 33, antara jam 3.30 petang hingga 5.30 petang pada 2 Jun 2025 di Taman Cahaya, Bukit Gambir.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Sapian mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 8 Julai 2025 untuk keputusan laporan ujian patologi dan DNA.
Terdahulu, tertuduh tiba di perkarangan mahkamah pada jam 8.30 pagi dengan memakai pakaian lokap berwarna ungu dan dikawal ketat oleh anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah.
Selepas prosiding, tertuduh dilihat hanya tersenyum sebelum dibawa menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) menuju ke Mahkamah Sesyen Muar untuk menghadapi sembilan lagi pertuduhan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib mengesahkan bahawa tertuduh akan didakwa atas sembilan pertuduhan melakukan khianat dengan api.
Tertuduh didakwa membakar sembilan buah kenderaan di perkarangan rumah mentuanya di Kampung Pengkalan, Kampung Durian Chondong, pada 3 Jun lalu.
Post a Comment