Pasangan Warga Emas Ditemui Meninggal Dunia di Rumah Sendiri

 

RAUB, 15 Jun 2025 – Sepasang suami isteri warga emas ditemui meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati di kediaman mereka di Kampung Sungai Ruan, tengah hari Sabtu lalu.


Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abd Rahman, berkata mayat Wong Tong Seng, 75, ditemui dalam keadaan sudah berulat di hadapan sinki dapur, manakala isterinya, Loh Kam Ngo, 73, pula ditemukan terbaring di bucu katil di bilik tengah rumah.

“Polis menerima maklumat mengenai kejadian pada jam 12.20 tengah hari dan siasatan segera dilakukan di lokasi,” katanya dalam kenyataan.


Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah, dan rumah mangsa juga berada dalam keadaan teratur. Polis percaya kedua-dua mangsa telah meninggal dunia lebih seminggu sebelum mayat mereka ditemui.


Maklumat daripada anak mangsa mendedahkan bahawa isteri menghidap penyakit Parkinson sejak 20 tahun lalu, manakala suaminya pula mempunyai masalah jantung dan sedang menerima rawatan.


Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Raub untuk proses bedah siasat. Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post