Isteri Muda Carikan Calon Isteri Kedua untuk Suami

 

LANGKAWI, 15 Jun 2025 – Seorang wanita berusia 33 tahun mengejutkan ramai apabila mendedahkan bahawa beliau sendiri sedang mencari calon isteri kedua untuk suaminya, Mohammad Qamaruzzaman Md Isa, 36 meskipun pasangan itu baru beberapa bulan mendirikan rumah tangga.


Dalam temu bual, wanita tersebut yang enggan mendedahkan namanya memaklumkan bahawa beliau telah bersetuju untuk dimadukan sejak sebelum perkahwinan mereka pada 11 November 2024.

“Dia pernah berkenan dengan seorang wanita sebelum kami nikah. Jika wanita itu setuju, mereka boleh nikah dulu sebelum saya. Tapi wanita itu tidak mahu bermadu,” katanya.


Beliau turut berkongsi kriteria calon madu yang diingini, antaranya:

  • Tidak terlalu cemburu
  • Pentingkan kebersihan
  • Rajin dan lebih muda daripadanya
  • Sanggup tinggal di Pulau Langkawi atau bersama serumah


Menurutnya, pasangan itu menjalankan pelbagai perniagaan berkaitan pelancongan dan kenderaan sewa di Langkawi, dan suaminya diyakini mampu menyediakan nafkah sekurang-kurangnya RM800 sebulan untuk setiap isteri.

“Saya izinkan suami nikah hingga empat. Dia seorang yang setia dan adil. Ramai wanita disia-siakan, mereka perlu lelaki seperti suami saya,” katanya.


Sementara itu, Qamaruzzaman menyatakan beliau bersyukur kerana isterinya memahami hasratnya untuk berpoligami, dan menganggapnya sebagai takdir, amanah dan sumber rezeki.

“Isteri dan anak adalah amanah Allah. Lagi ramai anak, makin bertambah rezeki,” jelasnya, sambil memaklumkan bahawa isterinya kini sedang hamil.


Beliau turut mengakui berasal dari keluarga yang mengamalkan poligami termasuk arwah bapanya dan adiknya.

“Saya bukan ikut nafsu, tetapi ingin lakukan perkara yang halal,” katanya.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post