KUANTAN, 15 Jun 2025 – Jabatan Imigresen Malaysia Pahang menahan seramai 99 warga asing dalam satu operasi serbuan serentak di enam pusat hiburan sekitar Jalan Gambut, awal pagi tadi.
Pengarah Imigresen Pahang, Nursafariza Ihsan, berkata serbuan yang dijalankan sekitar jam 1 pagi itu mendapati 85 wanita warga asing bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO), manakala 14 lelaki turut ditahan kerana bekerja sebagai pelayan tanpa kebenaran sah.
Wanita terbabit terdiri daripada:
- 81 warga Thailand
- 4 warga Laos
Lelaki yang ditahan pula melibatkan:
- 12 warga Bangladesh
- 1 warga Yaman
- 1 warga China
Siasatan awal mendapati sebahagian besar mereka menyalahgunakan permit kerja, yang pada asalnya dikeluarkan untuk sektor binaan dan pembersihan tetapi digunakan untuk bekerja di pusat hiburan.
“Mereka melakukan pelbagai kesalahan imigresen, terutamanya menyalahgunakan permit kerja. Malah, semua pusat hiburan ini pernah diserbu dan dikenakan tindakan sebelum ini, namun kesalahan masih berulang,” kata Nursafariza.
Beliau turut memaklumkan bahawa enam pemilik pusat hiburan akan dipanggil untuk siasatan lanjut kerana dipercayai tidak mengendahkan tindakan penguatkuasaan yang telah dikenakan sebelum ini.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Kemayan, Bera untuk siasatan lanjut mengikut:
- Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 (menyalahgunakan pas)
- Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 (masuk dan tinggal tanpa izin)
Post a Comment