Dua Kedai Serbaneka Disamun

 

MELAKA, 15 Jun 2025 – Dua kejadian samun melibatkan kedai serbaneka berlaku dalam tempoh kurang sejam di Melaka awal pagi semalam, menyebabkan dua pekerja cedera dipukul suspek bersenjata.


Kejadian pertama berlaku sekitar jam 4.40 pagi di Taman Sin Hoe, Bukit Baru, apabila seorang pekerja lelaki berusia 20 tahun dipukul dengan kayu besbol oleh suspek yang cuba melarikan wang dari laci juruwang.


Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, suspek pada awalnya meminta tambah nilai ewallet Touch 'n Go sebanyak RM50 sebelum berlaku pergelutan. Suspek kemudiannya memukul mangsa dengan kayu besbol berbalut kain hitam dan melarikan laci mesin juruwang yang mengandungi wang tunai.


Mangsa cedera di kepala dan kini dirawat di Hospital Melaka dalam keadaan stabil. Suspek dipercayai seorang lelaki Melayu berdasarkan percakapan, namun wajahnya tidak dapat dikenal pasti kerana memakai topi keledar dan pelitup muka.


Polis menemui tiga kesan cap jari di lokasi kejadian dan sedang menyemak rakaman CCTV serta mengesan motosikal Yamaha LC135 yang digunakan suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.


Dalam kejadian berasingan sekitar jam 4 pagi di Saujana Puri, Bukit Katil, seorang lagi pekerja kedai serbaneka berusia 31 tahun cedera di pergelangan tangan kiri selepas dipukul dengan besi oleh seorang suspek dalam cubaan samun.


Rakaman video kejadian pertama berdurasi 17 dan 6 saat turut tular di WhatsApp, memaparkan mangsa menahan kesakitan dan darah di lantai premis.


Polis kini sedang menyiasat sama ada kedua-dua insiden mempunyai kaitan dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post