47 Warga Emas Ditipu Ejen Haji

 

JOHOR BAHRU, 15 Jun 2025 – Hasrat 47 jemaah warga emas Malaysia menunaikan haji bertukar mimpi ngeri apabila mereka dipercayai ditipu ejen haji tempatan yang turut melibatkan seorang agamawan terkenal.


Insiden bermula sebaik mereka tiba di Jeddah pada 9 Mei lalu, apabila dimaklumkan bahawa tiada visa haji disediakan. Mereka kemudiannya dipaksa berjalan kaki meredah laluan berbahaya termasuk padang pasir, bukit berbatu dan lebuh raya untuk memasuki Makkah secara tidak sah.


Menurut Sharifah Azzahra, anak kepada salah seorang mangsa, jemaah yang terlibat tidak diberi taklimat keselamatan, dipecah kepada kumpulan kecil, dan tidak ditemani ejen ketika melalui laluan sukar itu tanpa makanan, minuman atau perlindungan.


Setibanya di Makkah, mereka dikurung di bilik sempit tanpa akses makanan atau rawatan, serta dimanipulasi melalui ceramah agama agar tidak membantah. Ada antara mereka yang menghidap penyakit kronik dan kehilangan ubat penting yang tertinggal dalam bagasi.


Mangsa turut didakwa diminta membayar tambahan RM9,000 bagi mendapatkan kembali barang peribadi mereka. Setiap jemaah difahamkan telah membayar lebih RM30,000 kepada ejen untuk “pakej haji”.


Cubaan jemaah untuk keluar dari premis gagal kerana tiada dokumen sah, dan ketika dalam perjalanan ke Arafah, mereka ditahan pihak berkuasa Arab Saudi. Bagaimanapun, selepas hampir seharian ditahan dalam bas, kesemua dilepaskan atas rekod baik jemaah Malaysia, namun diarahkan keluar dari Arab Saudi serta-merta.


Menurut Sharifah Azzahra, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Ukay Perdana, Ampang, dan pihak berkuasa diminta menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap ejen terbabit.


“Penipuan ini bukan sahaja menyebabkan kerugian besar dan trauma kepada warga emas, tetapi turut mencemarkan imej Malaysia dalam pengurusan haji,” katanya.


Kesemua 47 jemaah kini dalam proses untuk pulang ke tanah air selepas transit di Turkiye.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post