SULAWESI SELATAN, 14 Jun 2025 – Seorang wanita dikenali sebagai Mega, 30, maut selepas dipercayai didera dan ditikam suaminya sendiri dalam kejadian tragis yang berlaku pada 5 Jun lalu di Kampung Camba-camba, Batang, Jeneponto.
Menurut Ketua Unit Perlindungan Perempuan dan Anak (PPA) Siasatan Jenayah Polis Jeneponto, Iptu Pamili, suspek dikenali sebagai Juang, 36, bertindak ganas selepas mengesyaki isterinya berlaku curang semasa dia bekerja di Makassar.
“Suspek cuba mengakses telefon bimbit mangsa yang dikunci cap jari dan gagal membukanya. Ia mencetuskan kemarahan, disusuli pertengkaran,” katanya.
Tambah beliau, Juang turut bertanyakan kepada anak mereka siapa yang sering menghubungi mangsa ketika ketiadaannya, dan selepas beberapa nama disebut, pergaduhan tercetus sehingga membawa kepada tragedi berdarah.
Mangsa dilaporkan ditikam sebanyak lapan kali dan sempat menerima rawatan di hospital sebelum disahkan meninggal dunia. Suspek kini ditahan di Pusat Tahanan Jeneponto Kelas 2B dan telah dinamakan sebagai suspek utama pada 11 Jun.
Kes disiasat mengikut undang-undang berkaitan keganasan rumah tangga yang membawa kepada kematian.
Post a Comment