Musim haji 1446H yang baru melabuhkan tirai menyaksikan ribuan jemaah Malaysia kembali ke tanah air dengan pelbagai kisah suka dan duka. Namun, sebuah kisah tular baru-baru ini menyentuh hati warga maya apabila seorang warga emas wanita dilaporkan menjadi mangsa buli oleh rakan jemaah wanita lain ketika menunaikan ibadah haji secara bersendirian.
Anak kepada jemaah terbabit berkongsi kisah duka ibunya yang sudah berusia lebih 70 tahun itu di media sosial. Ibunya, katanya, menjadi sasaran cemuhan dan layanan buruk hanya kerana naif dan tidak mahir menggunakan telefon pintar atau bersosial.
“Mak kita ni memang buta IT, duduk rumah saja. Bila dia cerita ada makcik-makcik cakap dia bodoh, bengap, siap tengking lagi… dia cuma nak belajar dan ikut orang, tapi makin dipulau,” luah individu tersebut.
Disebabkan permohonan rayuan adiknya untuk menemani si ibu ditolak, wanita warga emas itu terpaksa berangkat ke Tanah Suci bersendirian. Walaupun berada dalam kumpulan, dia dilaporkan tidak dilayan dengan baik oleh sesama jemaah.
“Waktu keluar tak ajak pun, padahal mak tak berani keluar sorang. Bila nak ikut pun disuruh cari orang lain. Mak dah tahan menangis masa tu,” tulis anaknya.
Menurutnya lagi, ibunya langsung tidak mengadu kepada mutawif atau pihak pengurusan jemaah, kerana bimbang akan mengeruhkan suasana. Sebaliknya, ibu itu hanya memendam kesedihan dan tekanan emosi sepanjang di sana.
Dalam kesunyian itu, si ibu dipertemukan dengan seorang wanita muda bernama Adik Fiza yang membantu menghubungkan keluarga dengan ibunya melalui WhatsApp dan menjadi tempat bergantung si ibu sepanjang berada di Tanah Suci.
“Kalau tak kerana Fiza yang baik hati, tak tahu macam mana keadaan mak dekat sana,” kata anak jemaah itu sambil mendoakan balasan kebaikan yang berlipat kali ganda buat wanita berkenaan.
Perkongsian itu menjadi tular dan mendapat ribuan reaksi, kebanyakannya menyatakan rasa marah dan sedih terhadap sikap jemaah yang bersikap angkuh serta membuli.
“Haji tapi mulut tak jaga. Siapa sangka ada orang macam ni sampai ke Makkah. Semoga mak awak terus kuat dan Allah kurniakan haji yang mabrur.”
“Bukan semua orang biasa keluar rumah. Orang kampung yang lurus ni kena sabar lebih dekat sana. Tapi Allah Maha Melihat,” antara komen netizen.
Post a Comment