Penyanyi popular Khai Bahar mengambil keputusan untuk tidak meneruskan tindakan saman terhadap individu yang menyebarkan fitnah terhadap dirinya di platform X (Twitter).
Khai, 31, yang ditemui ketika majlis tayangan muzik video lagu baharunya Beri Sedikit Waktu, berkata dia telah mengikhlaskan dan melepaskan perkara tersebut.
"Sudah selesai, saya pilih ikhlaskan dan lepaskan. Tak jadi nak saman sebab dia tak teruskan perkara itu," katanya.
Menurut Khai, individu berkenaan dipercayai menggunakan akaun palsu, namun isi kandungan fitnah menunjukkan dia mungkin dalam kalangan kenalan rapat, kerana turut memuat naik paparan skrin dari senarai ‘close friends’ Instagram milik Khai.
"Pelik sebab dia tahu hantaran di close friend saya. Saya rasa circle orang terdekat saya," jelasnya.
Khai menyatakan kesediaan untuk bertanggungjawab sekiranya dakwaan yang dilemparkan disertakan dengan bukti kukuh. Namun dalam kes ini, hantaran yang tular adalah fitnah semata-mata.
“Kalau ada bukti, saya terima. Tapi ini semua fitnah. Jika saya silap, saya perbaiki dan minta maaf,” katanya lagi.
Walaupun berulang kali menjadi mangsa kecaman di media sosial, Khai tetap tidak akan membataskan perkongsian kehidupannya dengan peminat. Katanya, setiap momen yang dikongsikan adalah kenangan peribadi dan ruang untuk berinteraksi.
“Saya ini random sikit. Kalau nak kongsi, saya post saja. Tapi kalau dapat teguran saya turunkan semula,” katanya sambil mengakui dirinya bukan insan sempurna.
Isu ini bermula pada Mei lalu apabila satu akaun X memuat naik semula video Khai bersama adik iparnya di dalam kereta dengan kapsyen berbaur fitnah, mengundang komen negatif dari netizen. Ketika itu, Khai menyatakan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang.
Post a Comment