Isu jantina bayi kembali menjadi topik hangat di media sosial apabila seorang wanita meluahkan pendapat bahawa anak perempuan lebih berharga daripada anak lelaki, mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen di platform X (dahulunya Twitter) dan Thread.
Dalam hantaran yang menjadi tular, wanita berkenaan menyatakan kekeliruannya terhadap segelintir pihak yang terlalu menginginkan anak lelaki, sedangkan baginya anak perempuan lebih banyak berjasa, terutama ketika ibu bapa meningkat usia.
“Saya tak faham kenapa sesetengah orang nak sangat bayi lelaki. Saya pula berpendapat anak perempuan lebih berharga.
Anak perempuan ni akan banyak berjasa bila kita tua. Suruh belajar pun ikut, tak degil. Lepas kahwin pun, selalunya perempuan yang kawal suami,” tulisnya secara terbuka.
Walaupun niatnya dilihat sekadar menyuarakan pilihan peribadi, kenyataan tersebut menerima pelbagai reaksi antaranya ada yang bersetuju, namun tidak kurang juga yang menyifatkan kenyataannya bersifat stereotaip dan berat sebelah.
Menjawab kritikan yang diterima, wanita itu dalam satu lagi hantaran berkata:
“Ramai triggered dan ambil serius. Korang ni ‘pembaris’ sangat.
Zaman sekarang, perempuan dah tegas dan dua-dua (suami isteri) boleh kawal dan buat keputusan. Apa yang korang fikir, anak lelaki ni benefit dia keturunan dan harta je.”
Di sebalik kecaman, ramai juga yang bersetuju dengan pandangan wanita tersebut, dengan berkongsi pengalaman masing-masing berkaitan pengorbanan anak perempuan dalam menjaga ibu bapa.
“Saya 11 beradik. Yang perempuan je jaga dan hantar mak ayah. Yang lelaki lepas kahwin ikut bini.”
“Anak perempuan la kawan kita dari kecil sampai besar. Sebab tu saya nak anak perempuan ramai.”
Ramai juga netizen tampil menyeimbangkan pandangan, menyatakan bahawa nilai seseorang anak tidak sepatutnya diukur berdasarkan jantina, sebaliknya bergantung kepada cara didikan, nilai kasih sayang dan tanggungjawab yang ditanam sejak kecil.
“Bukan soal lelaki atau perempuan. Kalau didik elok, dua-dua pun boleh jadi anak soleh atau solehah.”
Perbincangan yang tercetus ini membuka ruang kepada masyarakat untuk melihat bahawa setiap anak sama ada lelaki atau perempuan mempunyai keistimewaan dan tanggungjawab masing-masing.
Apa yang lebih penting adalah bagaimana mereka dibentuk, dibimbing dan dicontohi — kerana nilai seseorang anak bukan terletak pada jantinanya, tetapi pada akhlak dan tanggungjawabnya kepada keluarga.
Post a Comment