SUBANG JAYA, 23 Julai 2025 — Seorang lelaki tempatan dipercayai menjadi mangsa penculikan selepas 'disumbat' ke dalam sebuah lori oleh sekumpulan lelaki susulan insiden pergaduhan di tepi jalan, yang dipercayai berpunca daripada masalah hutang.
Kejadian berlaku di Jalan Persiaran Puchong Permai, di sini semalam, dan menjadi tular selepas sebuah video berdurasi 15 saat dimuat naik oleh pengguna media sosial yang merakam insiden itu menggunakan telefon bimbit.
Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian tersebut sekitar jam 6.38 petang, Ahad lalu.
“Pemberi maklumat memaklumkan seorang lelaki tempatan telah dilarikan oleh tiga lelaki menaiki sebuah lori selepas berlaku pergaduhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasil maklumat itu, seorang suspek lelaki berusia 32 tahun berjaya ditahan di tepi jalan SS19 pada jam 10 malam hari yang sama.
“Suspek yang ditahan mempunyai dua rekod jenayah lampau dan dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap berdasarkan tatu yang dimilikinya,” tambah Wan Azlan.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada masalah hutang antara mangsa dan suspek. Polis kini masih mengesan tiga lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan lanjut. Suspek yang ditahan kini direman selama empat hari bermula hari ini hingga 26 Julai 2025.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis menerusi:
- Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya: 03-7862 7100
- Pegawai Penyiasat, Inspektor Dinesh Ganasan: 011-3309 4457
Polis menyeru orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan memberi ruang kepada siasatan dijalankan secara menyeluruh bagi membawa semua pelaku ke muka pengadilan.
Post a Comment