KUCHING, 21 Julai 2025 – Dua beranak berdepan detik mencemaskan apabila kereta yang dinaiki mereka terjunam ke dalam tasik di kawasan kampus Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Kota Samarahan, pagi tadi.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 10.35 pagi, mangsa dikenali sebagai Nur Shareefah Lusia, 50, dan anak perempuannya, Nurul Badrina, 17 tahun, berjaya diselamatkan oleh orang awam yang menyaksikan insiden berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.40 pagi, sebelum mengerahkan sepasukan anggota ke lokasi.
“Enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima maklumat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Setibanya pasukan penyelamat di lokasi, kedua-dua mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam. Namun begitu, Nur Shareefah Lusia dilaporkan tidak sedarkan diri ketika diselamatkan, manakala anaknya berada dalam keadaan stabil.
“Wanita berkenaan telah dikejarkan ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut,” jelas jurucakap itu.
Punca kejadian masih dalam siasatan dan JBPM mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati semasa memandu terutama di kawasan berdekatan badan air.
Post a Comment