CAMERON HIGHLANDS, 19 Julai 2025 – Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat seorang bayi yang ditanam di kawasan bukit berhampiran Brinchang, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintendan Azri Ramli, berkata penahanan suspek dilakukan kira-kira jam 5.30 petang, hasil laporan dibuat oleh bapa remaja terbabit selepas menemui kesan tanah mencurigakan berhampiran tangki air berdekatan kediaman mereka.
“Siasatan awal mendapati bayi itu dipercayai dilahirkan oleh kakak tiri suspek yang berusia 21 tahun pada 16 Julai lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Azri, hasil soal siasat mendapati suspek mengaku telah melakukan hubungan seks terlarang dengan kakak tirinya sehingga menyebabkan wanita itu hamil.
“Selepas kakak tirinya melahirkan bayi berkenaan, suspek dipercayai membawa bayi itu bersama uri ke kawasan bukit dan menanamnya,” katanya lagi.
Polis turut merampas cangkul dan penyodok tanah yang dipercayai digunakan untuk menggali lubang bagi menanam mayat bayi yang dibungkus dengan kain.
Kes berkenaan terbongkar selepas bapa suspek sendiri menemui kesan tanah yang kelihatan baru terusik berhampiran rumah mereka kira-kira jam 10 pagi kelmarin. Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan mayat bayi itu, sebelum beliau membuat laporan polis.
Suspek yang bekerja sebagai pekerja pembersihan inap desa kini direman selama empat hari bermula 18 Julai hingga 22 Julai 2025 bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan niat menyembunyikan kematian, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.
Polis masih meneruskan siasatan lanjut termasuk meneliti aspek jenayah seksual, penderaan, serta latar belakang hubungan keluarga antara suspek dan mangsa.
Post a Comment