Polis Serbu Perjumpaan Kumpulan LGBT di Kota Bharu

 

KOTA BHARU, 19 Julai 2025 – Polis Kelantan mengesahkan tindakan serbuan terhadap satu perjumpaan makan- makan membabitkan kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di sebuah banglo di Jalan Kemumin, dilakukan berdasarkan risikan terperinci dan aduan awam.


Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff, berkata operasi yang dijalankan pada jam 1.15 pagi itu bertujuan menjaga ketenteraman awam dan keselamatan masyarakat, serta sebahagian daripada usaha mencegah kemungkaran.

“Kita melakukan serbuan untuk kebaikan semua pihak. Kita hanya ingin mencegah amar makruf dan nahi mungkar,” katanya ketika dihubungi media hari ini.


Beliau menjelaskan, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam, sebelum menjalankan siasatan dan risikan selama beberapa hari bagi mengesahkan aktiviti kumpulan terbabit.

“Serbuan dilakukan berdasarkan bukti kukuh, bukan bertujuan untuk menjatuhkan mana-mana pihak atau memburukkan reputasi negeri,” tegas beliau.


Serbuan yang berlaku pada pertengahan bulan lalu turut membawa kepada penemuan ratusan kondom serta ubat berkaitan HIV. Ketika serbuan dilakukan, hanya 20 individu yang masih berada di dalam rumah, manakala selebihnya dilaporkan telah meninggalkan lokasi.


Sebelum ini, media melaporkan perjumpaan berkenaan dipercayai dihadiri hampir 100 lelaki dan dikatakan melibatkan kehadiran individu dari luar Kelantan.


Susulan itu, timbul dakwaan bahawa acara tersebut sengaja dianjurkan oleh pihak luar bagi mencemarkan nama baik negeri Kelantan, namun pihak polis menolak dakwaan tersebut.

“Agenda saya jelas – keselamatan dan ketenteraman awam. Operasi ini dilakukan atas kapasiti profesional pihak berkuasa,” kata Mohd Yusoff.


Polis Kelantan menegaskan bahawa sebarang aktiviti yang menjejaskan norma masyarakat dan melanggar undang-undang akan terus dipantau dan dikenakan tindakan tegas.


Kes disiasat di bawah peruntukan undang-undang berkaitan ketenteraman awam dan akhlak, dan semua individu yang ditahan telah diambil keterangan untuk siasatan lanjut.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post