Penyanyi remaja popular Indonesia, Farel Prayoga, mengejutkan peminat apabila mendedahkan kisah hidupnya yang penuh liku termasuk pernah menjadi mangsa penderaan oleh ibu tiri serta dipaksa bekerja sebagai penyanyi jalanan sejak usia lapan tahun.
Dalam sesi wawancara, Farel yang kini berusia 15 tahun, berkongsi pengalaman perit zaman kecilnya yang penuh tekanan emosi dan fizikal.
“Sejak umur 8 tahun saya disuruh jadi pengamen (penyanyi jalanan). Awalnya memang saya mahu, tapi lama- kelamaan jadi kewajipan sebab kalau tak menyanyi, tak ada duit untuk makan,” ujarnya.
Lebih memilukan, Farel mendedahkan dia sering diseksa dan dihalau keluar rumah oleh ibu tiri kerana dikatakan mempunyai wajah mirip ibu kandung, yang dipercayai menjadi punca kebencian terhadap dirinya.
“Saya pernah tak dibenarkan tidur dalam rumah. Dia benci saya kerana muka saya mirip ibu kandung. Jadi segala marah dia, saya yang jadi sasaran,” katanya dengan nada sebak.
Farel turut memaklumkan bahawa simpanan wang hasil titik peluhnya sebagai penyanyi turut disalahgunakan oleh ahli keluarga, termasuk bapa kandung dan adik-beradik.
“Ada satu hari saya semak akaun bank, baki tidak mencukupi. Bila saya tanya, semua salahkan saya konon boros. Tapi kemudian kakak beritahu duit itu digunakan untuk beli kuda untuk abang,” dedahnya.
Menurut Farel, dia hanya mengetahui perkara sebenar selepas berlaku perselisihan dalam keluarga yang akhirnya mendedahkan perbuatan tersebut.
Tambah Farel, sejak kecil dia tidak pernah bertemu ibu kandungnya. Namun hubungan mereka mula terjalin selepas namanya melonjak naik dalam industri hiburan.
Farel Prayoga mula mencuri perhatian ramai apabila menyanyikan lagu “Ojo Dibandingke” di hadapan Presiden Joko Widodo sempena sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia, dan sejak itu terus mendapat tempat di hati peminat pelbagai lapisan usia.
Post a Comment