PETALING JAYA, 19 Julai 2025 – Seorang pengurus projek syarikat pembinaan terkemuka bertindak luar jangka apabila nekad membakar wang tunai hampir RM1 juta ketika kediamannya diserbu oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tindakan terdesak itu dipercayai bertujuan melupuskan bahan bukti berkaitan siasatan kes rasuah melibatkan tender projek pembinaan sebuah pusat data.
Menurut sumber SPRM, kejadian berlaku pada Khamis ketika pasukan penyiasat menjalankan serbuan di rumah suspek di Petaling Jaya.
“Semasa pegawai memasuki rumah, mereka mendapati rumah dipenuhi asap tebal yang berpunca dari bilik mandi. Pemeriksaan lanjut menemui sejumlah besar wang kertas RM100 yang telah dibakar, dianggarkan bernilai hampir RM1 juta,” katanya.
Difahamkan, suspek bertindak membakar beberapa bungkusan wang tunai sejurus menyedari kehadiran pegawai SPRM di rumahnya.
Selain wang yang dibakar, siasatan lanjut turut menemui kira-kira RM7.5 juta wang tunai yang disembunyikan di dalam kotak bantal, tiga jam tangan mewah jenama Rolex, Omega dan Cartier, serta barangan kemas seperti cincin dan syiling emas. Semua aset berkenaan telah disita untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan kejadian tersebut dan menegaskan bahawa melupuskan bahan bukti merupakan satu kesalahan jenayah serius.
“Tindakan membakar wang ini boleh disiasat di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda,” katanya.
Tambah beliau, siasatan utama kes ini kini tertumpu kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 17A Akta SPRM 2009, iaitu berkaitan pemberian dan penerimaan rasuah.
SPRM dijangka memanggil beberapa individu lain yang berkaitan untuk membantu siasatan dalam masa terdekat.
Post a Comment