Dua Kanak-Kanak Ditemui di Bahu Jalan Seremban 2


 

SEREMBAN, 18 Julai 2025 – Tular di media sosial sebuah video memaparkan dua kanak-kanak, dipercayai adik-beradik, ditemui duduk di tepi jalan berhampiran Garden Avenue, Seremban 2, dalam keadaan yang mencetuskan kebimbangan orang awam.


Rakaman berdurasi 12 saat itu menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan, dipercayai berusia enam tahun, memeluk adiknya yang lebih kecil sambil duduk di bahu jalan. Turut kelihatan sebuah botol susu berhampiran mereka. Kapsyen video menyatakan mereka "ditinggalkan oleh ibu bapa", sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen.


Insiden itu turut disedari pihak polis dan beberapa orang awam yang berada di lokasi kejadian.


Bagaimanapun, hasil semakan dan maklumat terkini daripada orang ramai serta pihak berkuasa, kanak-kanak terbabit sebenarnya tidak ditinggalkan, sebaliknya keluar dari rumah tanpa pengetahuan bapa mereka yang ketika itu sedang tidur.


Perkara itu turut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, yang memaklumkan bahawa ibu bapa dua beradik tersebut telah hadir ke Balai Polis Seremban 2 dan mengambil semula anak-anak mereka.


Turut tular adalah gambar kanak-kanak terbabit bersama bapa mereka, dipercayai diambil di balai polis sebagai bukti penyerahan semula kepada keluarga.


Netizen yang mengikuti perkembangan kes turut menzahirkan kelegaan selepas mengetahui kanak-kanak tersebut telah selamat dan berada bersama keluarga semula.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post