Kanak-Kanak Kantoi Curi Durian

 

Sebuah video pendek berdurasi 35 saat yang memaparkan aksi dua orang kanak-kanak melarikan diri selepas dipercayai mencuri durian di sebuah gerai, telah mencuri perhatian warga maya di media sosial.


Menerusi rakaman video yang dimuat naik di aplikasi TikTok, kelihatan dua kanak-kanak bertempiaran lari selepas perbuatan mereka disedari oleh pemilik atau penjaga gerai tersebut. Seorang daripada mereka berjaya ditangkap oleh seorang lelaki, manakala seorang lagi berjaya meloloskan diri.


Video berkenaan yang kini mencatat lebih 111,000 tontonan, bagaimanapun tidak menyatakan secara jelas lokasi kejadian atau tindakan lanjut yang diambil terhadap kanak-kanak yang berjaya dicekup.


Perkongsian itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen yang rata-ratanya memberikan reaksi bercampur baur.


Ada yang menyokong tindakan lelaki berkenaan, menyifatkannya sebagai langkah wajar bagi memberi pengajaran agar kanak-kanak tidak terbiasa mencuri pada usia muda.

“Niat tidak menghalalkan cara… kecil-kecil dah pandai mencuri, nanti jadi kebiasaan pula bila besar,” komen seorang pengguna.


Namun begitu, sebahagian warga maya turut meluahkan rasa simpati terhadap kanak-kanak tersebut, menyarankan pendekatan yang lebih berhemah.

“Kalau mampu, halalkan sajalah. Mungkin mereka lapar, budak lagi. Sedekah je sebiji durian tu,” ujar seorang lagi.


Tidak kurang juga yang mencadangkan agar pihak berwajib atau komuniti setempat menyiasat latar belakang keluarga kanak-kanak terbabit, sekiranya perbuatan itu didorong oleh faktor kemiskinan atau kecuaian penjaga.


Sehingga kini, tidak dapat dipastikan sama ada insiden tersebut telah dilaporkan kepada pihak berkuasa.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post