Ibu Mangsa Insiden Sekolah Agama Tidak Maafkan Pembuli

 

KOTA KINABALU, 18 Julai 2025 – Insiden menyayat hati melibatkan seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun, yang meninggal dunia selepas terjatuh dari bangunan asrama sebuah sekolah agama, kini mencetuskan perhatian ramai selepas ibunya tampil membuat luahan terbuka di media sosial.


Menerusi video yang dimuat naik di aplikasi TikTok, wanita dipercayai ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina menegaskan bahawa beliau tidak akan memaafkan individu yang didakwa menjadi punca kematian anaknya, sekiranya mereka masih enggan mengaku kesalahan dan memohon maaf.

“Kepada pembenci-pembenci anak saya, mungkin kamu sudah berpuas hati melihat keadaan ini. Ingat, selagi kamu belum memohon maaf dan mengaku, saya tidak akan memaafkan kamu,” luahnya.


Dalam video sama, beliau turut berkongsi sekeping gambar arwah anaknya dalam keadaan kritikal di hospital, sebelum disahkan meninggal dunia pada malam Khamis.


Insiden yang berlaku di Sekolah Menengah Agama (SMA) Tun Datu Mustafa, Papar itu telah dilaporkan berlaku sekitar jam 3 pagi Rabu lalu, apabila mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di bawah blok asrama.


Mangsa yang merupakan pelajar Tingkatan Satu dari Sipitang kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, namun tidak dapat diselamatkan.


Susulan kejadian, gambar tangkap layar luahan ibu mangsa tular di media sosial, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa arwah mungkin menjadi mangsa kes buli sebelum kejadian tragis itu berlaku.


Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, mengesahkan insiden melibatkan seorang pelajar sekolah agama yang maut selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah berkenaan.

“Kenyataan media penuh berkaitan siasatan kes ini akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menerusi catatan Facebook mengesahkan bahawa siasatan kini sedang dijalankan oleh pihak polis, dan meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi.

“Kementerian memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa. Hormatilah privasi keluarga dan benarkan siasatan dijalankan tanpa gangguan,” katanya.


Pihak keluarga mangsa turut berharap agar keadilan dapat ditegakkan dan siasatan dapat merungkai punca sebenar kejadian, termasuk dakwaan unsur buli yang semakin menjadi perhatian dalam kalangan pelajar sekolah berasrama.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post