Beberapa pelajar perempuan sebuah institusi pengajian tinggi meluahkan rasa tertekan dan tidak selesa apabila seorang rakan serumah mereka sering membawa teman lelaki bermalam di unit kondominium yang mereka sewa bersama.
Situasi yang berlarutan sejak sekian lama itu bukan sahaja mengganggu privasi, tetapi turut mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan dan isu aurat dalam kalangan penyewa lain.
Menerusi perkongsian tular di media sosial, seorang daripada penghuni rumah memaklumkan bahawa lelaki terbabit sering hadir ke rumah sekitar jam 11 malam, termasuk ketika mereka sedang menyiapkan tugasan.
“Kadang-kadang tengah buat assignment, dia datang cakap ‘bf aku nak masuk rumah kejap tau’. Lepas tu, kami semua pula yang kena angkat barang masuk bilik,” katanya.
Menurutnya, lelaki berkenaan tidak hanya hadir seketika, tetapi sering bermalam di bilik teman wanitanya dan hanya pulang keesokan paginya.
“Satu hari tu, saya bangun pagi nak mandi, keluar dari bilik dengar suara dia dengan bf tengah borak-borak kat dapur. Lepas tu baru terhegeh-hegeh nak lindungi aurat saya. Dia langsung tak kisah pasal privasi dan aurat kami,” jelasnya.
Pelajar berkenaan mendakwa mereka telah beberapa kali memberi nasihat dan menegur rakannya itu, namun teguran tersebut tidak diendahkan.
“Bayangkan bayar sewa mahal tapi kena kongsi rumah dengan lelaki asing. Nasihat semua tu memang tak jalan pun,” luahnya kecewa.
Situasi tersebut menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, dengan ramai menyarankan agar penghuni lain mengambil tindakan lebih tegas.
Antara cadangan termasuklah memaklumkan perkara tersebut kepada ibu bapa pelaku, tuan rumah, membuat laporan polis atau menghubungi pihak berkuasa agama.
“Maksiat depan mata. Kalau dah nasihat banyak kali pun tak jalan, call je jabatan agama.”
“Kalau tuan rumah tak ambil tindakan, lebih baik keluar dari rumah tu. Takut kita pula yang bersubahat,” komen beberapa pengguna media sosial.
Kes ini sekali lagi membuka perbincangan tentang batas pergaulan, tanggungjawab moral penyewa rumah bersama, dan peranan institusi pengajian serta keluarga dalam mendidik pelajar menjaga adab serta keselamatan bersama.
Post a Comment