PUTRAJAYA, 17 Julai 2025 – Negara dikejutkan dengan pendedahan mengejutkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berhubung kes penderaan seksual yang melibatkan seorang bayi perempuan berusia tiga bulan yang bukan sahaja drogol, malah rakaman kejadian kejam itu turut dijual.
Pendedahan menggemparkan itu dibuat Saifuddin ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Rabu.
“Saya diberi taklimat oleh pihak polis sekitar jam 12.30 tengah malam. Kalau sampai waktu itu pun masih perlu diberikan taklimat, ini menandakan kes ini amat serius,” katanya.
Menurut beliau, kejadian yang berlaku ini sukar diterima akal manusia dan menjadi bukti betapa keji dan gilanya sesetengah individu yang sanggup mengeksploitasi bayi tidak berdosa demi kepentingan dan kepuasan nafsu.
“Sekarang ini dah berlaku satu keadaan yang teruk, tak terjangkau di akal. Bayi umur tiga bulan kena rogol, divideokan dan (rakaman) itu dijual. Itu sudah kira gila… ya dah gilalah, tak terbayang oleh kita,” tegasnya dengan nada kecewa.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci lokasi kejadian atau sama ada insiden itu berlaku di dalam negara atau luar negara, namun menjelaskan bahawa perkara tersebut menuntut tindakan segera dan menyeluruh.
Sebagai langkah awal, KDN kini sedang merangka usaha memperkasakan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) di bawah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi menangani kes jenayah seksual yang semakin ekstrem dan membimbangkan.
“Kita akan memperkukuh unit D11 agar lebih berkesan dalam menangani kes-kes keganasan seksual, terutama terhadap kanak-kanak yang tidak berdaya,” tambahnya.
Pendedahan tersebut mengundang reaksi hangat di media sosial dengan ramai rakyat Malaysia meluahkan rasa marah, sedih dan jijik terhadap perbuatan tidak berperikemanusiaan itu.
Orang ramai menyeru pihak berkuasa untuk memastikan pelaku ditangkap dan dihukum seberat-beratnya, serta menambah baik kawalan terhadap eksploitasi seksual kanak-kanak termasuk aktiviti dalam talian dan rangkaian gelap.
Post a Comment