Anak Bakar Barang Kelengkapan Rumah Hingga Ibu Menangis Tersedu

 

Hanya kerana salah faham kecil, hubungan antara seorang anak dan ibu kandungnya menjadi tegang sehingga membawa kepada tindakan drastik membakar barang kelengkapan rumah termasuk pintu, yang menyayat hati ramai netizen.


Kisah menyedihkan itu dikongsikan seorang lelaki dikenali sebagai Sham, dipercayai adik kepada pelaku, menerusi satu hantaran di TikTok. Menurut Sham, insiden itu berpunca daripada permintaan adiknya untuk mengambil semula barang-barang yang pernah dibelinya untuk kegunaan ibu mereka.

“Mak bagi balik tapi minta tinggalkan pintu sebab bimbangkan keselamatan. Tapi dia tetap berkeras nak ambil semuanya, siap minta RM500 kalau tak nak dia buka. Sampai mak terpaksa buat laporan polis,” katanya.


Namun, lebih mengejutkan, kesemua barang yang telah dibawa keluar oleh adiknya itu dilonggokkan berhampiran rumah ibu mereka dan dibakar, termasuk kipas angin yang pernah dihadiahkan sendiri.

“Kalau hang bawa balik dan bakar dekat rumah hang, tak apa la, tapi hang bakar depan mata mak. Sampai mak kutip sisa barang yang terbakar tu sambil menangis,” luah Sham sebak.


Dalam video berdurasi 1 minit 6 saat yang dimuat naik, kelihatan rumah ibu mereka dalam keadaan kosong dan menyedihkan, disertai sisa-sisa kebakaran yang berselerakan.


Sham turut memaklumkan ibunya amat terluka dengan tindakan anak kandungnya itu hingga terpaksa melafazkan sumpah tidak mahu melihat wajah anak tersebut lagi, walaupun ketika sakit atau meninggal dunia kelak.

“Mak cakap, ‘Kalau aku sakit, aku mati jangan mai tengok, jangan sentuh mayat aku. Nak tengok pi kubuq (kubur).’ Berat hati mak bila sampai terlafaz macam tu,” katanya lagi.


Tindakan Sham berkongsi kisah ini bukanlah untuk mengaibkan sesiapa, tetapi sebagai peringatan kepada masyarakat agar tidak sesekali menyakiti hati ibu bapa, lebih-lebih lagi terhadap ibu kandung sendiri.


Kisah itu telah mengundang pelbagai reaksi netizen di media sosial. Ramai meluahkan rasa simpati terhadap si ibu, namun ada juga yang menasihati agar semua pihak melihat punca sebenar sebelum menghukum.

“Betul kesian kat orang tua tu, tapi kita kena tahu juga punca sebenar. Kadang adik-beradik lain pun suka cucuk mak sampai jadi pergaduhan,” ujar seorang pengguna.

“Kalau sayang mak, takkan sanggup bakar depan rumah. Biar marah sekalipun, jangan sampai hancurkan perasaan mak yang dah tua,” komen yang lain.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post