41 Tan Baja Kawalan Dirampas, Disyaki Dijual Secara Haram di TikT*k

 

MELAKA, 16 Julai 2025 – Tiga buah banglo di kawasan perumahan elit di negeri ini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka selepas dikesan menjadi lokasi penyimpanan dan pembungkusan semula barang kawalan iaitu baja seberat 41,000 kilogram (kg), dengan nilai keseluruhan dianggarkan sebanyak RM6,789.05.


Pengarah KPDN Melaka, Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata, serbuan dilakukan hasil risikan selama seminggu susulan aduan orang awam mengenai bau busuk baja yang menjejaskan keselesaan penduduk setempat.

“Hasil pemeriksaan mendapati kegiatan membungkus semula baja ini dilakukan tanpa kebenaran pihak berkuasa kawalan bekalan dan tidak melalui proses penentusahan sah.

“Baja-baja ini kemudiannya dijual secara dalam talian, termasuk menerusi platform TikTok, dengan anggaran keuntungan mencecah RM400,000 sebulan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.


Menurut Mohd Hazimin, siasatan awal mendapati kegiatan haram ini dipercayai telah beroperasi sejak tahun lalu. Tiga banglo berkenaan disewa pada kadar RM2,500 hingga RM3,000 sebulan sebagai strategi untuk menjimatkan kos dan mengaburi mata pihak berkuasa.

“Lokasi mewah ini dipilih kerana kawalan keselamatan yang ketat serta lokasi yang jauh dari kawasan perindustrian bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan.

“Semakan lanjut mendapati lesen perniagaan mereka didaftarkan di luar Melaka dan tidak berkaitan langsung dengan premis yang digunakan,” ujarnya lagi.


Kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan dan membungkus semula barang kawalan tanpa kebenaran, serta Akta Timbang dan Sukat 1972 kerana beroperasi tanpa pematuhan sukatan sah.


Dr Mohd Hazimin turut mengingatkan orang ramai dan para peniaga agar tidak menyalahgunakan lesen atau premis untuk tujuan penipuan dan penjualan barang kawalan secara haram.

“KPDN akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan dan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, demi melindungi kepentingan pengguna dan kestabilan bekalan,” katanya.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post