Seorang wanita meluahkan rasa kecewa apabila usaha membantu anak saudaranya yang menghidap strok untuk menyelesaikan urusan harta pusaka arwah ibunya di Bangunan Persekutuan Kangar terhalang oleh sikap tidak prihatin kakitangan kerajaan.
Menerusi perkongsian di laman Facebook, wanita bernama Noraishah Idah mendakwa beliau dan keluarganya menghadapi kesukaran ketika cuba menyelesaikan urusan di pejabat kerajaan di Aras Tujuh, Bangunan Persekutuan, pada Isnin lalu.
“Kakak saya ada seorang waris tunggal, anak lelaki yang kini pesakit terlantar. Dia dibawa dengan ambulans ke bangunan tersebut. Kami dah maklumkan awal di kaunter bahawa dia tak boleh berjalan dan minta jasa baik pegawai untuk turun ke lobi,” katanya.
Namun, menurut Noraishah, permintaan itu tidak dilayan. Pegawai terbabit dilaporkan tetap mahu waris hadir ke kaunter walaupun keadaannya uzur dan tidak mampu bergerak sendiri.
“Kami cuba pindahkan anak saudara saya ke kerusi roda untuk membawanya naik ke atas, tapi dia tak mampu duduk. Lif pula sempit, tak muat untuk bawa stretcher,” jelasnya.
Lebih mengecewakan, pegawai tersebut meminta mereka membuat permohonan baharu dan enggan turun ke lobi dengan alasan terdapat pelanggan lain yang perlu diuruskan.
“Katanya saya nombor lima, dan masih ada orang lain. Walaupun saya terangkan keadaan waris, dia tetap suruh mohon semula. Katanya kesian, tapi tak ada langsung tindakan atau sikap mahu menolong,” tambahnya.
Noraishah menyifatkan tindakan pegawai itu sebagai tidak berperikemanusiaan dan tidak mencerminkan semangat perkhidmatan awam yang seharusnya mempermudah urusan rakyat, apatah lagi melibatkan waris tunggal seorang si mati yang dalam keadaan uzur.
“Dari kaunter ke lif lobi tak sampai lima minit pun. Kenapa susah sangat nak turun untuk selesaikan urusan orang yang tak berdaya? Tak rugi pun,” katanya lagi dengan nada kesal.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian warganet yang turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap insiden berkenaan.
Antara komen yang ditinggalkan pengguna media sosial termasuk menyeru agar dasar kerajaan yang menekankan keprihatinan terhadap rakyat dipatuhi oleh penjawat awam.
“Pegawai kerajaan kena faham dasar kerajaan untuk mempermudah urusan rakyat, bukan menyusahkan. Sampai hati tolak permintaan orang dalam kesusahan,” tulis seorang pengguna.
Difahamkan, kisah ini tular dan mencetuskan perbincangan mengenai keperluan latihan semula terhadap pegawai barisan hadapan agar lebih empati dan proaktif dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan bantuan khas.
Post a Comment