KUALA LUMPUR, 15 Julai – Anak sulung kepada Mohamad Azim Izat Ishak, salah seorang mangsa tragedi menyayat hati di Sungai Korok, disahkan layak menerima Pencen Penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, PERKESO memaklumkan bahawa hasil semakan mendapati mangsa, berusia 31 tahun, adalah pencarum aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), dengan pekerjaan terakhirnya sebagai pengawal keselamatan.
“Menerusi caruman itu, waris yang juga anak sulung, Putri Qisya Nur Izzat, 12, layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000 secara sekali bayar serta Pencen Penakat bulanan berjumlah RM576.25 sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama,” kata kenyataan itu.
PERKESO turut menyatakan rasa simpati dan dukacita mendalam terhadap keluarga mangsa serta komited untuk memastikan kebajikan waris terus dijaga. Menurut kenyataan itu, pihaknya sedang memperinci bantuan tambahan melalui Program Sinergi Sosial yang merangkumi intervensi pendidikan, penjagaan emosi, dan sokongan psikososial jangka panjang untuk anak sulung arwah.
Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, memaklumkan bahawa semakan caruman dilakukan segera bagi memastikan waris mangsa menerima bantuan sewajarnya.
“Tragedi ini menjadi bukti nyata mengenai kepentingan sistem perlindungan sosial seperti disediakan PERKESO, yang bukan sekadar perlindungan kewangan tetapi juga benteng terakhir buat keluarga pekerja apabila berlaku perkara luar jangka,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan enam sekeluarga yang hilang sejak 5 Julai lalu ditemukan maut dalam sebuah kereta Proton Iswara yang tenggelam di dasar Sungai Korok, Kedah pada 7 Julai 2024.
Post a Comment