Dua Mahasiswa UnIPSAS Maut Rempuh Ambulans

 



KUANTAN, 15 Julai – Dua mahasiswa Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) maut dalam satu kemalangan tragis apabila motosikal yang mereka naiki merempuh sebuah ambulans di persimpangan lampu isyarat berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar, Jalan Gambang, di sini hari ini.


Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 11 pagi ketika ambulans terbabit sedang dalam perjalanan dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) menuju ke Bukit Rangin dengan membawa seorang pesakit, dan siren kecemasan telah diaktifkan.


Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati ambulans dipandu seorang lelaki berusia 49 tahun bersama seorang pembantu sedang membelok ke kanan di persimpangan lampu isyarat ketika dirempuh oleh motosikal dinaiki dua mahasiswa dari arah Gambang.

“Penunggang motosikal, Muhammad Zuhair Rifqi Abdul Jalil, 21, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pembonceng, Muhammad Firdaus Mohammad Zamri, 22, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah HTAA,” katanya dalam satu kenyataan.


Tambah beliau, pemandu dan pembantu pemandu ambulans turut mengalami kecederaan dan kini sedang menerima rawatan lanjut di hospital. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Pihak polis menasihati orang awam untuk sentiasa berwaspada ketika berada di jalan raya, khususnya apabila berhadapan dengan kenderaan kecemasan yang sedang menjalankan tugas rasmi.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post