KUCHING, 6 Julai – Dua remaja lelaki berusia 19 tahun maut dalam kemalangan awal pagi tadi apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar sebatang pokok di tepi jalan berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Tudan, di Jalan Kuala Baram Bypass, Miri.
Mangsa dikenal pasti sebagai Roquell Brain Roland dan Slyvester Ribai Tuah. Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.30 pagi.
Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng dan BBP Lutong digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 2.44 pagi, kira-kira 13 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati sebuah kereta jenis Proton Saga lama telah melanggar sebatang pokok. Dua remaja lelaki didapati tersepit dalam kenderaan dan tidak sedarkan diri,” katanya.
Anggota bomba segera menjalankan operasi menyelamat dan berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa. Namun, pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir di lokasi mengesahkan kedua-duanya telah meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan siasatan berhubung punca sebenar kemalangan.
Pihak berkuasa menasihatkan pengguna jalan raya, terutamanya golongan muda, supaya sentiasa mematuhi had laju dan memandu secara berhemah, lebih-lebih lagi ketika waktu malam atau awal pagi bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.
Post a Comment