Riena Diana Umum Keith Foo Sedang Dalami Islam

 

PETALING JAYA, 6 Julai – Selepas setahun menyulam cinta, pelakon popular Riena Diana mendedahkan bahawa dia dan kekasihnya, aktor Keith Foo, kini dalam fasa merancang masa depan yang lebih serius termasuk perkahwinan.


Menurut Riena atau nama sebenarnya Nur Qamarina Diana Zulreal, 27, Keith sedang dalam proses mendalami agama Islam sebagai langkah awal sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

“Keith masih dalam proses belajar. Sekarang ini dia baru belajar doa makan dan masih belum mahir. Tapi saya gembira melihat perubahan positif dalam dirinya,” katanya ketika ditemui di sidang media Anugerah Melodi Terhangat pada Sabtu malam.


Riena menegaskan bahawa mereka tidak mahu membuat keputusan terburu-buru dan ingin mengelakkan tanggapan bahawa Keith memeluk Islam semata-mata untuk berkahwin.

“Kami nak elakkan orang mengata Keith tukar agama sebab nak kahwin. Kalau boleh, bukan hari ini masuk Islam, esok terus nikah. Keith sendiri cakap dia nak faham dulu ajaran Islam sebelum ambil keputusan besar,” jelasnya.


Tambah Riena, mereka telah berbincang tentang nama Islam untuk Keith, namun belum bersedia untuk mendedahkannya kepada umum.

“Saya ada siapkan nama Islam untuk dia. Tapi saya tak nak terlalu paksa. Saya ajar mana yang saya boleh dan selebihnya saya serahkan kepada Keith,” katanya sambil mengakui bangga dan gembira melihat perubahan Keith sepanjang proses ini.


Sementara itu, Keith atau nama sebenarnya Foo Chuan Chin, 42, turut mengesahkan bahawa dirinya kini aktif mempelajari asas-asas Islam, dengan banyak bantuan dan tunjuk ajar daripada Riena.

“Sebenarnya, saya dah lama berminat dengan Islam. Sejak bersama Riena, dia banyak bimbing saya dari perkara asas macam doa makan hinggalah hal-hal lain yang lebih mendalam,” katanya.


Keith turut berkongsi bahawa dia mahu segala persiapan dilakukan dengan teliti dan mengharapkan doa orang ramai untuk urusan mereka.

“Saya tak mahu terlalu terbuka buat masa ini. Tapi saya janji ada banyak berita gembira yang akan dikongsikan tahun hadapan,” katanya penuh harapan.


Untuk rekod, pasangan ini mula menjalin hubungan rapat sekitar Jun 2024 selepas terlibat dalam penggambaran drama Salju Rindu. Hubungan mereka terus mendapat perhatian peminat, terutamanya selepas beberapa penampilan bersama di acara hiburan.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post