KUANTAN, 6 Julai – Seorang pesara jurutera berusia 72 tahun disahkan meninggal dunia selepas melakukan aktiviti menyelam di Pantai Kampung Paya, Pulau Tioman, Rompin, awal malam tadi.
Mangsa dikenali sebagai Low Choon Foi dari Johor Bahru, Johor, dipercayai turun menyelam bersama seorang rakan pada jam 6.30 petang.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi, berkata rakan mangsa menyedari sesuatu yang tidak kena apabila mendapati lelaki itu terbaring tidak sedarkan diri di tepi pantai kira-kira jam 7.40 malam.
“Rakannya melihat mulut mangsa dalam keadaan berbuih sebelum segera mendapatkan bantuan daripada pihak pengurusan resort untuk membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Kampung Tekek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Namun, pada jam 9.20 malam, pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Sharif Shai berkata, hasil pemeriksaan awal pada tubuh mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah, dan siasatan mendapati mangsa bersama 14 rakan dari Singapura telah mendaftar masuk ke sebuah resort pada jam 10.30 pagi semalam dan dijadualkan pulang hari ini.
Punca sebenar kematian akan diketahui selepas proses bedah siasat dijalankan. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Pihak berkuasa mengingatkan orang ramai yang terlibat dalam aktiviti sukan air, terutama mereka yang berusia atau mempunyai masalah kesihatan, agar menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu dan sentiasa mengutamakan keselamatan semasa menyertai aktiviti ekstrem seperti menyelam.
Post a Comment