Lelaki Didakwa Rogol Adik Kandung Sejak Usia 11 Tahun

 

KOTA BHARU, 7 Julai – Seorang lelaki berusia 20 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Isnin atas tiga pertuduhan merogol adik kandungnya sejak mangsa berusia 11 tahun, dalam kejadian yang berlaku sejak dua tahun lalu.


Tertuduh yang bekerja sebagai pembantu kedai makan bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah.


Mengikut kertas pertuduhan:

  • Pertuduhan pertama: Tertuduh didakwa merogol mangsa di bilik bapanya pada April 2023.
  • Pertuduhan kedua: Didakwa merogol mangsa di dapur rumah pada Disember 2024.
  • Pertuduhan ketiga: Didakwa mengulangi perbuatan di sebuah bilik pada April lalu.


Kesemua kejadian dilaporkan berlaku di sebuah kampung di Bachok, Kelantan. Mangsa kini berusia 13 tahun dan berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta sekurang-kurangnya 10 sebatan, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Firdaus Zainal Abidin.


Peguam memohon agar tertuduh diberikan jaminan, memandangkan dia masih muda dan kejadian pertama didakwa berlaku ketika tertuduh berumur 17 tahun. Difahamkan, tertuduh baru tiga bulan mendirikan rumah tangga, dan isterinya sedang hamil awal.

“Tertuduh tidak pernah melarikan diri. Isteri dan bapa hadir ke mahkamah dan bersedia menjadi penjamin. Tertuduh juga akan berpindah ke Kuala Lumpur untuk bekerja,” hujah peguam bela.


Namun, pihak pendakwaan membantah permohonan jaminan atas faktor keseriusan kes, memandangkan mangsa adalah adik kandung dan masih bawah umur semasa kejadian didakwa berlaku.

“Mangsa mengalami trauma dan tekanan psikologi. Ini kes rogol bersiri melibatkan kanak-kanak dan ahli keluarga sendiri,” jelas pendakwa.


Mahkamah akhirnya membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan jumlah keseluruhan RM30,000, serta syarat tambahan:

  • Tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap bulan
  • Dilarang mengganggu mangsa dalam apa jua cara


Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Ogos 2025 untuk serahan dokumenBagaimanapun, tertuduh masih belum membayar wang jaminan, dan akan ditahan sehingga bayaran dibuat atau perintah lain dikeluarkan oleh mahkamah.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post