Tragedi Enam Beranak Lemas di Sungai Korok

 

ALOR SETAR, 7 Julai – Enam sekeluarga yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ditemui maut dalam sebuah kereta yang tenggelam di Sungai Korok, Jitra, pagi tadi, sekali gus merungkai penantian penuh pilu ahli keluarga yang tidak pernah berhenti mencari.


Mangsa dikenali sebagai 

  • Muhammad Azim Izat Ishak, 32
  • Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31
  • Putra Rayyan Nur Izzat, 9
  • Hawa Adriana Nur Izzat, 8
  • Annayla Humaira Nur Izzat, 7
  • Tuah Haydar 6 bulan


Menurut Muhammad Adlan Solehin Ishak, 24, yang juga adik kepada arwah Azim, pihak keluarga mengesahkan identiti kenderaan selepas mengenal pasti beberapa pelekat pada bahagian belakang kereta berkenaan yang ditarik keluar oleh pasukan bomba.

“Saya dimaklumkan apabila bomba membuka pintu sebelah pemandu, kesemua mayat ditemukan berada di bahagian belakang kereta. Saya sendiri berada di dalam trak yang membawa jenazah ke hospital,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, hari ini.


Tambahnya, proses bedah siasat masih dijalankan, dan kesemua jenazah akan dibawa pulang ke kampung halaman mereka di Jerlun untuk dikebumikan berhampiran kubur anak kembar arwah yang meninggal dunia Februari lalu.

“Abang dapat anak kembar lelaki. Salah seorang meninggal dalam pantang. Jika dikebumikan di situ, mereka akan ‘bersatu’ kembali… tujuh beranak,” ujarnya dalam nada sebak.


Menurutnya lagi, anak sulung pasangan itu, Puteri Qisya Nur Izzat, 12, terselamat kerana tidak mengikuti keluarga pada hari kejadian dan kini berada di bawah jagaan keluarga.


Sementara itu, sepupu kepada arwah, Bashiroh A Hamid, 45, berkata kehilangan itu memberikan kesan mendalam kepada seluruh ahli keluarga memandangkan Azim seorang yang rapat dan disenangi.

“Kami semua keluar mencari sejak tahu mereka hilang. Anak sulung arwah pun turut serta mencari ayah, ibu, dan adik-adiknya,” katanya.


Difahamkan, kereta yang membawa enam beranak itu dalam perjalanan pulang ke Jerlun selepas menghadiri majlis di rumah saudara di Taman Seri Aman, Jitra.


Muhammad Adlan turut berkongsi bahawa kali terakhir dia bertemu abangnya ialah pada pagi Jumaat, sehari sebelum tragedi, ketika mereka bersarapan bersama.

“Semalam kami masih mencari sampai malam, tapi tak jumpa. Pagi tadi polis hubungi dan minta datang ke lokasi, sebab mereka jumpa sebuah kereta dalam sungai,” jelasnya.


Tragedi ini meninggalkan kesan mendalam buat ahli keluarga dan orang ramai, dan upacara pengebumian dijangka berlangsung sebaik proses bedah siasat selesai. Punca sebenar kereta terbabas ke dalam sungai masih dalam siasatan pihak berkuasa.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post