SEREMBAN, 7 Julai – Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan polis selepas kereta Proton Satria yang dipandunya dipercayai terbabit dalam aktiviti lumba haram terbalik sebelum merempuh Perodua Axia, dalam kejadian awal pagi tadi di Jalan Persiaran Senawang 1, di sini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, berkata kemalangan berlaku kira-kira jam 2.50 pagi, dan seorang penumpang Perodua Axia parah, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Jaafar (HTJ).
“Siasatan awal mendapati Proton Satria itu datang dari arah Senawang menghala ke Ampangan. Tiba di lokasi, remaja terbabit mengelak sebuah kenderaan yang membrek secara mengejut, menyebabkan keretanya terbabas,” katanya dalam kenyataan.
Proton Satria terbabit kemudian melanggar tiang lampu dan pokok, sebelum memasuki laluan bertentangan lalu merempuh Perodua Axia yang dinaiki lima individu.
Pemandu remaja yang mengalami cedera ringan telah hadir membuat laporan dan ditahan untuk siasatan lanjut. Dia kini direman selama dua hari.
“Ujian saringan air kencing terhadap suspek adalah negatif dadah,” kata Mohamad Hatta.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda dan hilang kelayakan lesen, jika sabit kesalahan.
Polis meminta saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 019-4611794.
Pihak berkuasa turut mengingatkan orang ramai, terutamanya golongan muda, agar tidak menjadikan jalan raya sebagai litar perlumbaan, kerana tindakan tersebut boleh mengundang maut kepada diri sendiri dan orang lain.
Post a Comment