Isu sikap tidak bertimbang rasa ketika menggunakan kemudahan lif kembali menjadi bualan hangat warganet selepas seorang ibu meluahkan rasa kecewanya terhadap pengunjung pusat beli-belah yang mementingkan diri sendiri, khususnya apabila berdepan golongan yang lebih memerlukan seperti ibu bapa dengan anak kecil, warga emas, wanita hamil dan orang kurang upaya (OKU).
Menerusi perkongsian di media sosial, wanita itu berkongsi pengalaman tidak menyenangkan apabila dia bersama suami dan anak kecil sukar mendapatkan akses lif kerana lif sering dipenuhi oleh individu yang sihat dan tidak membawa keperluan khas seperti kereta sorong bayi (stroller).
“Suami aku sound dua perempuan yang terus masuk lif walaupun dah nampak penuh. Yang dalam lif pun semua tangan kosong, tak ada common sense langsung,” katanya.
Wanita itu menyatakan bahawa walaupun mereka lazimnya menggunakan eskalator, namun pada ketika itu mereka memilih lif kerana ingin cepat keluar dari pusat beli-belah. Malangnya, mereka terpaksa berdepan dengan sikap tidak berhemah segelintir pengunjung.
“Sepanjang dalam tu, lif penuh dengan orang yang ‘tangan kosong’. Kami nak tolak stroller pun susah, ada pula perempuan terus serbu masuk bila pintu terbuka,” jelasnya.
Beliau turut menambah bahawa eskalator juga bukanlah pilihan ideal kerana sesetengahnya mempunyai palang yang menyukarkan pergerakan stroller dan boleh membahayakan pengguna lain jika tidak dikendalikan dengan betul.
“Pernah ditegur sebab guna eskalator, tapi nak buat macam mana? Lif pun selalu penuh,” katanya.
Luahan wanita itu mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya bersetuju dan menyokong pendapat tersebut. Ramai mengakui bahawa kesedaran sivik dalam kalangan pengunjung pusat beli-belah masih rendah, terutama dalam situasi sesak seperti hujung minggu.
Antara komen yang ditinggalkan:
“Setuju sangat! Yang muda dan sihat ni tak patut berebut lif. Kita yang ada anak kecil ni kadang rasa macam nak menangis tunggu lif.”
“Saya sendiri elakkan naik lif kalau tak perlu. Rasa bersalah kalau rampas ruang dari mereka yang lebih perlukan.”
“Lif bukan untuk suka-suka. Kalau sihat, silalah guna eskalator.”
Insiden ini sekali lagi menjadi peringatan kepada orang ramai agar lebih prihatin dan bertimbang rasa, terutama ketika menggunakan kemudahan awam. Lif seharusnya dikhaskan kepada mereka yang benar-benar memerlukan, bukan sekadar jalan mudah untuk mengelakkan berjalan atau menunggu.
Pihak pengurusan pusat beli-belah juga disaran mempertingkatkan pemantauan serta memasang notis peringatan bagi mendidik pengunjung tentang etika penggunaan kemudahan seperti lif, demi keselesaan semua.
Post a Comment