Rosmah Menang Saman Fitnah Ilmu Hitam

 

Datin Seri Rosmah Mansor hari ini memenangi saman fitnah terhadap seorang pemilik akaun TikTok selepas Mahkamah Tinggi memerintahkan individu berkenaan membayar ganti rugi sebanyak RM100,000 kerana memfitnah beliau mengamalkan ilmu hitam, dalam satu video tular yang dimuat naik dua tahun lalu.


Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan bahawa jumlah tersebut merangkumi ganti rugi am dan ganti rugi teruk, dalam prosiding taksiran ganti rugi hari ini.


Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan ganti rugi teladan, selepas mendapati pihak plaintif gagal mengemukakan keterangan yang mencukupi bagi menyokong permohonan tersebut.


Terdahulu, Rosmah memfailkan saman terhadap Ku Muhammad Hilmie Ku Din, 35, yang didakwa telah memuat naik video fitnah di TikTok pada 22 Mac 2023 yang dikatakan menjejaskan reputasi dan maruahnya, termasuk memberikan gambaran bahawa beliau tidak mengamalkan nilai-nilai Islam.


Rosmah, dalam afidavit yang difailkan pada 10 Oktober 2024, menyatakan bahawa kenyataan fitnah itu bukan sahaja mencemarkan nama baiknya sebagai isteri bekas perdana menteri, malah turut menjejaskan kedudukannya sebagai tokoh masyarakat dan penaung kepada beberapa badan amal.

“Ekoran fitnah itu, saya mengalami gangguan emosi, kemurungan dan hilang keyakinan diri untuk tampil di khalayak ramai kerana bimbang akan dipersoalkan,” jelasnya dalam afidavit.


Beliau turut menambah bahawa kenyataan tersebut telah menjadi perbualan hangat di media sosial dan memaksanya memberi penjelasan kepada orang sekeliling bagi mengelakkan salah faham.


Pada 28 Mei 2024, Rosmah memperoleh penghakiman ingkar selepas pihak defendan gagal memasukkan memorandum kehadiran untuk menjawab saman tersebut.


Walaupun Rosmah menuntut ganti rugi sebanyak RM1 juta, mahkamah memutuskan hanya RM100,000 dibayar oleh defendan sebagai pampasan.


Kes ini mencetuskan peringatan tegas mengenai tanggungjawab pengguna media sosial agar tidak sewenang-wenangnya memuat naik kandungan yang boleh menjejaskan reputasi individu lain, lebih-lebih lagi tokoh awam yang dikenali ramai.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post