Gelagat 'Oyen' Curi Selipar Jiran Curi Perhatian Netizen

 

KUALA LUMPUR, 21 Julai — Siapa sangka, seekor kucing boleh mencuri perhatian ramai hanya kerana tabiat ‘pelik’ yang mencuit hati iaitu mencuri selipar jiran.


Itulah yang berlaku kepada seekor kucing jantan bernama Oyen, milik Noraini Darus, apabila gelagat luar biasanya menjadi tular di TikTok. Kucing comel kacukan Parsi dan kampung itu pada mulanya hanya membawa pulang objek kecil seperti daun kering, kotak rokok, dan cicak ke rumah. Namun, sejak dua bulan lalu, ‘hadiah’ yang dibawa pulang oleh Oyen semakin ‘mahal’ nilainya antaranya selipar jiran tetangga.


Walaupun kelakuan itu kelihatan nakal dan mengundang gelak tawa, menurut pakar kesihatan awam Public Health Malaysia, ia sebenarnya satu bentuk penghargaan dan kasih sayang daripada kucing terhadap tuannya.


Menurut pakar, terdapat beberapa cara kucing menunjukkan kasih sayang dan kepercayaan kepada tuan mereka, antaranya:

  • Gesel kepala atau badan – Tanda kucing selesa dan mempunyai ikatan emosi.
  • Bawa hadiah pelik – Termasuk cicak, daun, kasut atau selipar jiran.
  • Tidur atas riba atau berdekatan tuan – Simbol kepercayaan sepenuhnya.
  • Kelipan mata perlahan (slow blink) – Isyarat cinta dan keyakinan.
  • Ekor bergoyang laju bila didekati – Petanda gembira melihat tuan.
  • Mengiau manja bila disapa – Cara komunikasi yang penuh kasih.


Public Health Malaysia menegaskan, bagi seekor kucing, tuannya bukan sekadar pemberi makan atau tempat berteduh, tetapi dianggap sebagai dunianya. Maka, apabila Oyen datang membawa ‘hasil curian’ seperti selipar jiran, itu sebenarnya cara paling jujur dan unik si bulus menyampaikan ucapan “terima kasih”.


Gelagat lucu dan menyentuh hati Oyen ini jelas membuktikan bahawa kasih seekor haiwan juga mampu menyentuh hati manusia walaupun dalam bentuk yang tidak dijangka.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post