Trend 'S-Line' Cetus Kontroversi

 

Trend terbaharu yang dikenali sebagai 'S-Line' kini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat apabila ia disifatkan membuka ruang kepada pendedahan aib secara terbuka, sekali gus mencemari nilai agama dan norma sosial masyarakat Timur.


Trend tersebut melibatkan suntingan garisan merah di atas kepala seseorang dalam gambar atau video, kononnya melambangkan tahap pengalaman seksual individu terbabit. Difahamkan, semakin banyak garisan, maka semakin tinggi 'pengalaman' yang dimiliki simbolik yang jelas mengundang persoalan maruah dan kesedaran moral.


Antara yang lantang menyuarakan kebimbangan terhadap fenomena ini ialah pendakwah bebas PU Syed (Syed Mohd Bakri Syed Ishak), yang menyifatkan trend itu bukan sekadar gurauan, tetapi satu bentuk kejahilan yang dipilih.

“Aib adalah sesuatu yang kita tidak mahu orang lain tahu. Islam melarang kita mencari dan menyebar aib orang lain, apatah lagi mendedahkan aib diri sendiri,” ujar beliau.


PU Syed turut mengingatkan bahawa Allah SWT telah menutup aib hamba-Nya, maka tiada sebab untuk seseorang membuka aib tersebut secara sukarela kepada umum, sama ada atas nama 'kejujuran' atau sekadar hiburan.

“Jika benar berlaku (perkara tersebut), maka segeralah bertaubat. Pengakuan terbuka berkaitan zina boleh disabitkan dengan hukuman syariah,” tegasnya sambil merujuk kepada hukum Islam berkaitan zina iaitu sebat 100 kali bagi belum berkahwin dan rejam sehingga mati bagi yang telah berkahwin.


Beliau turut mengingatkan hadis Nabi SAW:

"Jika kamu tidak malu, lakukanlah apa yang ingin kamu lakukan."


Trend ini diinspirasikan daripada sebuah drama Korea adaptasi Webtoon bertajuk S-Line, yang mengisahkan seorang pelajar sekolah menengah memiliki kebolehan melihat garisan merah di kepala orang lain sebagai simbol sejarah hubungan seksual mereka.


Walaupun asalnya sekadar elemen fiksyen, trend ini akhirnya direalisasikan dalam dunia sebenar apabila ramai pengguna media sosial, termasuk di Malaysia, menyunting gambar sendiri dengan garisan merah di kepala, sama ada sebagai gurauan atau simbol kebanggaan.


Mereka juga mempersoalkan arah kandungan media sosial hari ini yang semakin menjauh daripada nilai etika dan moral yang sepatutnya dijunjung.


Fenomena S-Line bukan sekadar trend internet yang bersifat suka-suka, tetapi mengundang persoalan besar berkaitan akhlak, maruah dan tanggungjawab dalam penggunaan media sosial. Apabila elemen yang sepatutnya peribadi dan sensitif dijadikan bahan tontonan dan hiburan, ia jelas memberi kesan kepada pembentukan nilai dalam masyarakat, terutamanya generasi muda.


Pakar agama dan netizen yang prihatin menyeru agar pengguna media sosial lebih berhati-hati dalam menilai dan menyertai sebarang trend viral kerana tidak semua hiburan itu bebas dari kesan jangka panjang terhadap jiwa dan moral.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post